Model skuter adventure yang tampil sporty dan sarat dengan pelbagai ciri-ciri menarik iaitu Dayang ADV150 buat pertama kalinya dilancarkan di negara asalnya China dalam bulan Mac 2021 yang lepas. Model tersebut kemudiannya dilancarkan pula di pasaran Filipina pada September 2021, dan kini destinasi seterusnya ialah di pasaran Greece.
Untuk pasaran Malaysia, Dayang ADV150 telah disebut-sebut akan dilancarkan dengan nama Aveta ADV150, namun sehingga kini masih belum menjadi kenyataan. Menurut maklumat sebelum ini, Aveta ADV150 akan dilancarkan di pasaran tempatan sama ada dalam suku pertama atau kedua tahun ini, bermakna antara Januari sehingga Jun 2022.
Sementara itu di pasaran Greece, Dayang ADV150 baru saja dilancarkan, dan dikenali dengan nama baharu DYMOTO Mista 125 dan DYMOTO Mista 150. Kedua-dua varian tersebut dilengkapi enjin 125cc (14.6ps @ 8,500rpm & 12.5Nm @ 6,500rpm) dan 150cc (16.5ps @ 8,500rpm & 14.5Nm @ 6,500rpm), digandingkan transmisi automatik CVT.
Pelbagai ciri-ciri menarik dan moden melengkapi DYMOTO Mista 125 dan Mista 150 ini, seperti enjin empat injap dengan sistem suntikan bahan api BOSCH, sistem penyejukan cecair, tangki bahan api seluas 9.3 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar dengan sub-tank, dan termasuklah brek cakera dengan ABS dua saluran.
DYMOTO Mista 125 dan Mista 150 masing-masing mempunyai berat 149 kg, ketinggian tempat duduk 775 mm, jarak kelegaan bumi 165 mm, tayar depan 110/80-14, dan tayar belakang 130/70-13. Selain itu terdapat ruang barangan 23 liter di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan topi keledar, soket lighter dan juga port pengecas USB 5V 2A.
Lebih dari itu, DYMOTO Mista 125 dan Mista 150 turut dilengkapi sistem lampu depan LED dengan DRL, lampu belakang LED, lampu signal depan dinamik, lampu cornering untuk tahap keselamatan yang lebih baik pada waktu malam, panel meter digital LCD bersaiz 7.0 inci, sistem keyless dan alarm, dan skrin penghadang angin boleh laras.
Untuk pasaran Greece, DYMOTO Mista 125 2022 ditawarkan dengan harga sebanyak 3,495 Euro (RM 16,527.44), manakala DYMOTO Mista 150 2022 ditawarkan sebanyak 3,545 Euro (RM 16,763.89). Untuk pasaran Malaysia, diharapkan model skuter bertaraf adventure ini akan dilancarkan secara rasmi dan bukan hanya sekadar khabar angin.
Sumber : bikeit.gr
Galeri : DYMOTO Mista 125 2022
Galeri : DYMOTO Mista 150 2022