Syarikat pengeluar motosikal nasional Modenas yang berpengkalan di Gurun, Kedah, bakal melancarkan sebuah model skuter baharu tidak lama lagi, yang dikenali dengan nama Modenas Karisma 125S. Model berkenaan bakal menggantikan model Modenas Karisma 125 versi sebelumnya, yang diperkenalkan pada tahun 2016 yang lalu.
Sementara itu di pasaran Filipina, terdapat sebuah model skuter yang dilancarkan pada tahun lepas, dikenali dengan nama Lucky Star Theo 150. Melihat kepada namanya itu, model skuter tersebut dipercayai dilengkapi enjin bersesaran 150cc. Jadi persoalannya ialah adakah Lucky Star Theo 150 ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia?
Modenas baru-baru ini telah menyiarkan sebuah video teaser untuk Modenas Karisma 125S, yang bakal dilancarkan secara rasmi pada tarikh 24 Februari 2022 (Khamis) akan datang. Melihat kepada bahagian depan model yang ditunjukkan di dalam video teaser itu, dapat dilihat persamaannya dengan model Lucky Star Theo 150 di pasaran Filipina.
Kesimpulannya jika terbukti benar, Modenas Karisma 125S adalah model yang serupa dengan model Lucky Star Theo 150, kecuali di bahagian enjin. Modenas Karisma 125S setakat ini diketahui hanya dilengkapi enjin bersesaran 125cc, dan pastinya akan lebih menarik jika ianya dilengkapi enjin 150cc yang menawarkan kuasa yang lebih tinggi.
Modenas Karisma 125S 2022 apabila dilancarkan nanti, dijangka bakal tampil dengan gaya dan pilihan warna yang cukup menawan dan trendy. Model berkenaan tentunya disasarkan untuk golongan muda, dengan pelbagai kelengkapan dan kemudahan yang menarik seperti port pengecas USB dan ruang barangan yang luas di bawah pelana.
Untuk maklumat lebih lengkap dan lebih tepat, sama-sama kita tunggu pelancarannya.
Sumber gambar : carousell.ph