Honda X-ADV 2022 di pasaran Eropah terima tiga pilihan warna terbaharu

Skuter adventure Honda X-ADV 2022 baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan Januari yang lepas. Untuk pasaran Eropah, model berkenaan diperkenalkan lebih awal, iaitu dalam bulan November 2021. Untuk kedua-dua pasaran, perbezaannya ialah pilihan warna yang ditawarkan, sementara spesifikasi teknikal kekal tiada perubahan.

Honda X-ADV 2022 untuk pasaran Eropah telah diperkenalkan dalam tiga pilihan warna terbaharu iaitu Harvest Beige, Mat Iridium Gray Metallic dan Mat Ballistic Black Metallic. Dua pilihan warna terdahulu Pearl Deep Mud Gray dan Grand Prix Red pula masih lagi ditawarkan, menjadikan pilihan warna keseluruhan kini kepada 5 warna kesemuanya.

Untuk pasaran Malaysia, Honda X-ADV 2022 hanya menerima pilihan warna terbaharu Mat Ballistic Black Metallic, di samping dua pilihan warna sebelumnya Pearl Deep Mud Gray dan Grand Prix Red. Tidak pasti kenapa dua pilihan warna terbaharu iaitu Harvest Beige dan Mat Iridium Gray Metallic tidak turut sama ditawarkan di pasaran Malaysia.

Untuk peminat model skuter yang berkuasa dan mampu melakukan penjelajahan lasak, Honda X-ADV merupakan salah satu pilihan yang sangat sesuai. Model tersebut tampil dengan enjin 745cc (liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve, SOHC, parallel 2-cylinder), dengan kuasa maksimum 58.6PS @ 6,750rpm dan tork puncak setinggi 69Nm @ 4,750rpm.

Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem Throttle By Wire (TBW) dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Standard, Gravel dan Sport, dan tambahan mod User yang boleh disesuaikan (customisable), dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang beroperasi dengan lancar melalui tiga peringkat intervensi.

Honda X-ADV 2022 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 13.2 liter, ketinggian tempat duduk 820 mm, fork depan USD 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan Pro-Link swingarm, brek depan dwi-cakera 296 mm, brek cakera belakang tunggal 240 mm, sistem ABS dua saluran dan sistem lampu kecemasan Emergency Stop Signal (ESS).