KTM 890 Duke R 2022 diperkenalkan dengan warna terbaharu Atlantic Blue

KTM baru-baru ini rasmi memperkenalkan KTM 890 Duke R 2022, tampil dengan warna terbaharu Atlantic Blue yang tampil lebih sporty dan lebih menyerlah. Merupakan model naked kelas pertengahan yang berprestasi tinggi dan turut diberikan gelaran The Super Scalpel, spesifikasi teknikalnya bagaimanapun kekal sama seperti versi sebelumnya.

KTM 890 Duke R dikuasakan enjin bersesaran 889cc (2-cylinder, 4-stroke, parallel twin) yang menghamburkan kuasa maksimum impresif 121hp dengan tork maksimum 99Nm. Untuk pengendalian cemerlang, ianya telah dilengkapi tayar Michelin Power Cup 2 yang mampu beroperasi di setiap permukaan jalan raya dan dalam semua keadaan cuaca.

Sistem suspensi turut memainkan peranan utama untuk model yang lincah ini, tugasan yang telah dimainkan dengan sempurna oleh unit suspensi adjustable WP APEX. Aspek pemberhentian juga sangat penting, oleh itu The Super Scalpel menggunakan sistem brek depan berupa kaliper monoblock Brembo Stylema yang mencengkam cakera 320 mm berkembar, bersama-sama Brembo MCS master cylinder yang boleh dilaraskan.

Beralih ke bahagian sistem elektronik yang serba lengkap dan canggih, KTM 890 Duke R 2022 tampil dengan Cornering ABS dan Cornering MTC (motorcycle traction control), bersama-sama 6D lean angle sensor. Turut boleh didapati ialah empat mod tunggangan iaitu Rain, Street dan Sport, sementara mod Track merupakan mod pilihan yang boleh ditambah untuk aksi mengejar masa di litar, dengan ciri penyesuaian sepenuhnya.

KTM 890 Duke R ini seterusnya dilengkapi tangki bahan api 14 liter, panel meter digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya, rim roda yang ringan, dan berat kering hanya 166 kg sahaja. Turut melengkapi model naked tersebut ialah Supermoto ABS, tinggi tempat duduk 840 mm, handlebar aluminium yang tirus, dan juga muffler ekzos stainless steel.