Big Monster SBM-165 2022 buatan China ini tampil sporty dengan komponen bertaraf premium

Salah sebuah model motosikal terbaharu buatan China yang diiklankan di dalam laman jual beli popular Alibaba.com pada ketika ini ialah Big Monster SBM-165 2022. Model ini merupakan evolusi daripada model-model yang sebelum ini telah sedia popular, antara contoh terbaik ialah YCRMOTOR Duacti-1199 yang dilancarkan pada tahun 2020.

Menurut maklumat rasminya, Big Monster SBM-165 dikuasakan enjin bersesaran hanya 164.4cc (1-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke), dan masih lagi menggunakan sistem bahan api jenis karburetor. Enjin dengan transmisi enam kelajuan itu seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 22.12hp @ 8,000rpm, dengan tork maksimum 13Nm @ 6,500rpm.

Selain daripada skim warna dan grafik yang cukup menyerlah dan sporty, pelbagai ciri-ciri menarik turut melengkapi model tersebut. Antaranya adalah seperti fork depan USD, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan berkembar dan brek cakera belakang yang lengkap dengan ABS dua saluran, dan sistem lampu LED sepenuhnya.

Selain itu ialah paparan panel meter digital TFT, port pengecas telefon jenis USB, tangki bahan api 14 liter, dan tayar yang bersaiz 110/70-17 (depan) dan 150/70-17 (belakang). Kelajuan maksimum jentera sport full fairing ini bagaimanapun hanya mampu mencapai 120 km/j sahaja. Yang penting gaya menunggang sebuah motosikal besar tetap ada.

Sebenarnya, model-model motosikal buatan China seperti Big Monster SBM-165 2022 ini bersedia untuk dieksport kemana-mana saja pasaran di seluruh dunia. Apabila ianya sampai kepada pihak penjual, terpulanglah untuk meletakkan nama yang bersesuaian. Mungkin kini tiba masanya Nitro atau Comel kembali dengan model-model seperti ini.