Di pasaran USA untuk musim 2022, Yamaha bukan saja menawarkan model supersport Yamaha YZF-R1 2022 dan juga Yamaha YZF-R1 World GP 60th Anniversary Edition 2022, malah versi teratas Yamaha YZF-R1M 2022. Masih lagi kekal dengan skim warna Carbon Fiber, apa yang berubah ialah rekaan grafik terkini dengan sentuhan warna biru di bahagian fairing sisi, dan fairing depan carbon fiber sepenuhnya kini lebih menyerlah.
Yamaha YZF-R1M 2022 untuk pasaran USA telah mula ditawarkan sejak bulan Januari 2022 yang lalu, dan harga jualannya kini sedikit tinggi berbanding Yamaha YZF-R1M 2021, iaitu sebanyak $ 26,299.00, bersamaan nilai semasa RM 110,127.06. Bagi model tahun sebelumnya, harga jualannya hanyalah $ 26,099.00, perbezaan $ 200.00 sahaja.
Kita imbas kembali spesifikasi Yamaha YZF-R1M ini, yang mana ianya dikuasakan enjin bersesaran 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC, 4-Cylinder), dengan kuasa maksimum 200PS @ 13,500rpm dan tork puncak 113.3Nm @ 11,300rpm. Enjin itu telah dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch.
Berbanding YZF-R1, YZF-R1M dilengkapi dengan binaan badan unik menggunakan material gentian karbon yang ringan, yang turut melibatkan beberapa bahagian seperti fender depan, fairing skrin penghadang angin, fairing sisi dan termasuklah di bahagian ekor belakang. Menjadikannya lebih ringan ialah tangki bahan api daripada aluminium, selain didatangkan dengan lencana bernombor eksklusif di atas penutup kotak udara.
Selanjutnya, Yamaha YZF-R1M turut dilengkapi sistem suspensi perlumbaan premium daripada Öhlins, Brake Control (BC) dengan ciri dua mod, Engine Brake Management (EBM) tiga mod, pendikit ride-by-wire APSG yang sangat ringan, sistem Launch Control (LCS) yang telah dioptimumkan, Up and Down Quick Shift System (QSS) dan integrasi eksklusif teknologi Communications Control Unit (CCU) data-logging and GPS system.
Yamaha YZF-R1M seterusnya dilengkapi sistem lampu LED, paparan instrumen digital TFT berwarna sepenuhnya, sistem brek berprestasi tinggi dengan ABS, dan sepasang tayar Bridgestone® RS11 yang sentiasa bersedia bukan sahaja di jalanan, malah ketika memecut di litar. Tayar berkenaan dipasangkan pada rim cast magnesium yang ringan. Dengan tangki bahan api 17 liter, berat jentera sport itu hanyalah 202 kg (wet weight).