Yamaha Aerox 2022 dilancarkan di pasaran Thailand, tampil dengan kemaskini warna baharu yang lebih memikat

Untuk pasaran Thailand, Yamaha baru-baru ini telah melancarkan skuter Yamaha Aerox 2022 dengan kemaskini warna baharu yang lebih memikat. Bagi varian Standard, model tersebut tampil dalam dua pilihan warna Dark Blue dan Redline, manakala untuk varian ABS, ianya tampil dengan pilihan warna Yamaha Black, Silver Star dan juga Icon Blue.

Yamaha Aerox 2022 di pasaran Thailand ditawarkan dengan harga jualan bermula dari THB 68,900 (RM 8,907.70) untuk varian Standard, seterusnya diikuti harga THB 79,900 (RM 10,329.82) untuk varian ABS. Selain itu apa yang lebih menarik ialah jaminan yang ditawarkan dikatakan lebih daripada tempoh 5 tahun atau jarak perbatuan 50,000 km.

Beralih ke bahagian teknikal, Yamaha Aerox 2022 masih mengekalkan spesifikasi dan ciri-ciri sama seperti mana versi tahun sebelumnya iaitu Yamaha Aerox 2021. Model itu dikuasakan enjin Blue Core 155cc VVA dengan padanan transmisi automatik CVT, dan kuasa maksimumnya mencapai 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah Smart Key System (versi ABS sahaja), sistem Stop & Start (versi ABS sahaja), soket pengecas DC, ruang sehingga 25 liter di bawah pelana dengan muatan sebuah topi keledar bermuka penuh, tangki bahan api maksimum 5.5 liter, dan suspensi belakang dengan Sub-Tank (varian ABS sahaja).

Yamaha Aerox 2022 seterusnya turut memiliki Teknologi Smart Motor Generator (SMG) untuk penghidupan enjin yang lebih halus, teknologi sambungan Y-Connect yang boleh dihubungkan melalui paparan telefon bimbit, lampu depan LED dengan ciri DRL, lampu belakang LED, dan paparan panel instrumen digital LCD yang sporty dan berinformasi.