Model moped popular Honda RS-X telah pun dilancarkan oleh Boon Siew Honda dalam bulan November 2021 yang lepas, dengan harga jualan asas berpatutan iaitu sebanyak RM 8,688.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Harga jualan On The Road (OTR) sebelum tahun 2022 pula adalah sekitar RM 9,500.00 sahaja.
Kini harga OTR untuk Honda RS-X didapati telah meningkat, selaras dengan tamatnya pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah 150cc, bagi tempoh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021. Bermula 01hb. Januari 2022, insentif pengecualian cukai itu tidak lagi dilanjutkan.
Berdasarkan tinjauan terkini yang dilakukan di kebanyakan kedai motosikal di kawasan utara baru-baru ini, harga OTR untuk Honda RS-X ketika ini berada dalam lingkungan RM 9,700.00 sehingga RM 10,400.00. Harga yang dinyatakan itu tidak sama bagi setiap kedai, malah mungkin lebih tinggi bagi kedai-kedai yang berada di kawasan selatan.
Pada masa yang sama, didapati kebanyakan kedai yang menawarkan Honda RS-X kini mempunyai banyak bekalan stok, terutamanya bagi model berwarna Lemon Ice Yellow. Untuk bakal pembeli, kini mereka tidak lagi perlu menunggu lama untuk memiliki Honda RS-X, kecuali mungkin untuk model berwarna Trico dan Candy Caribbean Blue Sea.
Setakat ini harga Honda RS-X untuk tahun 2022 dijangka tidak akan melebihi sehingga paras RM 11k atau 11.5k, bergantung kepada kawasan dan negeri. Jika harganya lebih tinggi daripada itu, mungkin bakal pembeli akan beralih arah. Ketika ini, tidak dinafikan lagi bahawa Honda RS-X merupakan model moped paling popular di pasaran Malaysia.