SYM 4MICA 2022 diperkenalkan, skuter unik pelbagai fungsi dengan enjin 125cc dan 150cc

Pasaran skuter di rantau Asia Tenggara sejak beberapa tahun yang lepas didapati kian meningkat dengan ketara, terutamanya dengan pengenalan model-model baharu yang dilengkapi enjin sekitar 110cc sehingga 160cc. Selain enjin yang berkuasa dan rekaan yang sporty, ciri-ciri praktikal juga menjadi kelebihan untuk sesebuah model skuter.

Terkini pada bulan November 2021 yang lepas, bertempat di pameran motosikal EICMA di Milan, Itali, pengeluar skuter SYM dari Taiwan telah memperkenalkan sebuah model skuter terbaharu yang dikenali dengan nama 4MICA. Nama yang menarik itu diasaskan daripada perkataan Itali iaitu Formica, yang memberikan maksud “ant” atau “semut”.

Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk SYM 4MICA 2022 ini, iaitu varian 125cc dan 150cc, yang mana kedua-dua varian itu kemudiannya turut disediakan dalam versi Non-ABS dan ABS. Spesifikasi enjinnya ialah 124.6cc dan 150.1cc (1-cylinder, air-cooled, 4-stroke, OHC, 2-valve), dan digandingkan dengan sistem transmisi automatik C.V.T.

Bagi varian 125cc, janaan kuasa enjinnya mencapai paras 9.5hp @ 7,500rpm dan tork 9.5Nm @ 6,000rpm, manakala varian 150cc pula menawarkan kuasa sehingga 11.3hp @ 7,500rpm dan tork 12.25Nm @ 5,500rpm. Untuk jarak perjalanan lebih jauh, 4MICA telah dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum sehingga 6.8 liter.

SYM 4MICA dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, brek depan cakera, brek belakang dram, tayar depan dan belakang dalam ukuran 100/90-10, tinggi tempat duduk 747 mm, dan jarak roda sehingga 1,390 mm. Selain itu ialah lampu depan LED dengan DRL, panel meter digital, lampu hazard, dan Quick Charger 3.0.

Antara kelebihan yang ditawarkan oleh SYM 4MICA ini ialah ciri-cirinya yang praktikal, antaranya termasuklah platform carrier belakang yang boleh diluaskan sehingga 1.6 kali lebih besar dan muatan sehingga 40 kg, tempat duduk belakang yang boleh dilipat dan boleh dialihkan sepenuhnya, dan juga ruang lantai kaki yang cukup luas dan selesa.

Dengan melihat kepada ruang lantainya, SYM 4MICA pastinya sesuai digunakan untuk membawa barang-barang bersaiz besar dengan mudah, contohnya seperti beras 20 kg atau pun tong gas untuk memasak. Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada model skuter seperti ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia, dan adakah yang berminat?