Dua pilihan warna baharu diperkenalkan untuk Yamaha FZS 25 2022 di pasaran India

India Yamaha Motor Pvt. Ltd. pada bulan Januari 2022 yang lepas telah mengumumkan kemaskini dua pilihan warna terbaharu iaitu Matte Copper dan Matte Black, untuk model Yamaha FZS 25 2022. Bagi varian Yamaha FZ 25 2022 pula, model tersebut akan terus menawarkan dua pilihan warna sebelumnya iaitu Racing Blue dan Metallic Black.

Harga jualan yang ditawarkan untuk Yamaha FZS 25 2022 adalah sebanyak ₹ 143,300, bersamaan nilai RM 8,023.88, manakala Yamaha FZ 25 2022 berharga ₹ 138,800, iaitu bersamaan nilai RM 7,771.91. Rangkaian Yamaha FZ 25 di pasaran India kekal dengan enjin 249cc (Air cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dan sistem transmisi lima kelajuan.

Enjin tersebut menawarkan kuasa maksimum 20.8PS @ 8,000rpm, dengan tork puncak setinggi 20.1Nm @ 6,000rpm. Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh FZS 25 dan FZ 25 ialah ‘Multi-Function Negative LCD Instrument Cluster’, ‘LED Day Time Running Lamp’, ‘Class D Bi Functional LED Headlight’, ‘Under cowling’, ‘Side Stand with Engine Cut-off Switch’, ‘Advanced Midship Muffler Cover’ dan juga ‘140 mm Wider Rear Tyre’.

Berat Yamaha FZS 25 dan FZ 25 masing-masing ialah 154 kg dan 153 kg, memberikan kelebihan nisbah kuasa kepada berat, akhirnya memberikan kawalan tunggangan lebih mudah dan penggunaan petrol lebih ekonomi. Sistem brek didatangkan dengan cakera 282 mm (depan) dan 220 mm (belakang), bersama-sama teknologi ABS Dual Channel.

Kelengkapan fork depan teleskopik 41 mm serta suspensi belakang monocross dengan ciri yang boleh dilaraskan (7-Step Adjustable Monocross Suspension) pula menawarkan keseimbangan, kestabilan dan keselesaan terbaik sewaktu tunggangan. Tinggi tempat duduk 795 mm dan corak tunggangan ergonomik meningkatkan lagi tahap keselesaan.

Berbanding FZ 25, kelengkapan tambahan yang dipasangkan untuk FZS 25 ialah ‘Long Visor’, ‘Brush Guard’ dan ‘Golden Colour Wheel’, yang mana ianya bukan saja memberi kelebihan kepada nilai astetik, malah praktikaliti sepanjang sesi tunggangannya. Pilihan aksesori yang ditawarkan termasuklah LED Flasher, USB Charger dan Engine Guard.