Model sport heritage Yamaha XSR155 2022 secara rasminya diperkenalkan di pasaran Indonesia, kini tampil dengan pilihan dua skim warna baharu iaitu Yamaha World Grand Prix 60th Anniversary dan Matte Dark Blue Authentic. Selain itu, dua pilihan skim warna terdahulu iaitu Matte Silver Premium dan Matte Black Elegance masih lagi ditawarkan.
Yamaha XSR155 2022 dikuasakan enjin dalam sesaran 155cc (liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves, VVA), dan dipadankan transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch untuk corak tunggangan yang lebih mudah. Jumlah kuasa yang dihasilkan enjin tersebut ialah 19hp @ 10,000rpm, dengan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.
Yamaha XSR155 kemudiannya dilengkapi tangki petrol maksimum 10.4 liter, kerangka deltabox, lengan ayun belakang aluminium, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang, sepasang tayar jenis dual-purpose untuk pelbagai jenis permukaan jalan, serta ketinggian tempat duduk pada paras 810 mm.
Selain itu, model tersebut turut hadir dengan ciri-ciri menarik seperti panel meter digital LCD sepenuhnya, rekaan lampu depan dan belakang bergaya retro yang dalam bentuk bulat, rekaan tempat duduk dan tangki bahan api yang bergaya klasik dan evergreen, lampu depan dan belakang jenis LED, dan berat motosikal hanya 134 kg (curb weight).
Untuk musim 2022, Yamaha XSR155 di pasaran Indonesia didatangkan dengan tanda harga sebanyak Rp. 37,505,000 (RM 10,964.31) untuk model berwarna Yamaha World Grand Prix 60th Anniversary, dan Rp. 36,905,000 (RM 10,788.91) untuk model dengan warna Matte Dark Blue Authentic, Matte Silver Premium dan Matte Black Elegance.