Honda Navi 2022 versi custom diperkenalkan di pasaran USA

Honda Navi tidak lagi ditawarkan di pasaran India, dan model tersebut juga tidak pernah dilancarkan di mana-mana pasaran ASEAN. Namun begitu untuk pasaran USA, model skuter kompak tersebut baru saja dilancarkan pada bulan November 2021 yang lepas, dalam empat pilihan warna menarik. Harganya pula adalah sebanyak $1,807.00 sahaja.

Di pasaran USA, model-model motosikal dan skuter kompak seperti Honda Grom dan Honda Ruckus sememangnya popular di kalangan komuniti miniMOTO, dan kini ianya dilengkapkan lagi dengan kehadiran Honda Navi. Seperti mana model Honda Grom dan Honda Ruckus, Honda Navi juga kini telah mempunyai versi customnya yang tersendiri.

Antara contoh yang cukup menarik ketika ini ialah Honda Navi custom yang diubahsuai oleh MNNTHBX, sebuah bengkel terkenal yang terletak di Seymour, Tennessee. Honda Navi tersebut kini tampil dengan warna tema Trico, dilengkapi sistem suspensi belakang Öhlins, ekzos Yoshimura, dan sistem audio lengkap dengan pembesar suara Kicker.

Sementara itu bengkel Steady Garage yang berasal dari Irwindale, California, turut tidak ketinggalan mempamerkan hasil kerja mereka. Ternyata mereka mempamerkan sebuah model yang lebih bergaya funky, dengan jarak roda yang lebih panjang dan kekemasan yang cukup menyerlah, termasuk kehadiran rim roda depan dan belakang jenis penuh.

Walaupun Honda Navi mempunyai saiz yang kompak dan enjin hanya 109cc (air-cooled single-cylinder four-stroke, OHC; two valves), ditambah pula dengan sistem karburetor, model tersebut tetap mempunyai nilai pasaran di USA. Untuk pasaran Malaysia, adakah Honda Navi ini mampu menarik perhatian peminat skuter tempatan? Mungkin tidak.

Galeri : 2022 Honda Navi MNNTHBX Custom Bike

Galeri : 2022 Honda Navi Steady Garage Custom Bike