Moxiao 650RR 2022 di pasaran China diinspirasikan daripada model Ducati Panigale V4

Pasaran China terkenal dengan barisan pelbagai model-model motosikal bertaraf klon, antaranya termasuklah model-model di bawah jenama Moxiao. Jenama itu sebelum ini telah memperkenalkan dua model terbaharu Moxiao 500RR dan Moxiao MX500, yang mana kedua-duanya tampil mirip model Ducati Panigale dan Ducati Streetfighter V4.

Terkini Moxiao sekali lagi memperkenalkan sebuah model terbaharu yang diberi nama Moxiao 650RR 2022, kali ini ianya diinspirasikan daripada model supersport berprestasi tinggi Ducati Panigale V4. Setakat ini paparan imej model tersebut hanya dikeluarkan melalui paparan sekeping gambar di atas, menunjukkan rekaannya yang begitu sporty.

Menurut maklumat awal, Moxiao 650RR dikuasakan enjin dua silinder bersesaran 650c, dengan kuasa maksimum 45kW (60hp). Apa yang mengejutkan ialah berat motosikal itu mencapai angka 222 kg. Maklumat lain yang ada ialah ianya dilengkapi dengan sistem brek ABS, dan sepasang tayar dalam siri 120/70-17 (depan) dan 190/50-17 (belakang).

Melengkapkan lagi spesifikasi Moxiao 650RR agar ianya tampil hampir serupa dengan Ducati Panigale V4 ialah ianya dipasang winglet di bahagian depannya, fork depan jenis terbalik berwarna emas dan suspensi belakang monoshock yang mirip jenama terkenal Ohlins. Moxiao 650RR ini adalah sesuai untuk peminat Ducati yang mahu bergaya.

Sumber : jddmoto.com