Menurut sumber daripada Paultan.org, syarikat pengedar dan penjual motosikal Chear Global Sdn. Bhd. bakal melancarkan model skuter terbaharu Italjet Dragster 125 untuk pasaran Malaysia, dalam pertengahan tahun ini. Harga jualannya pula dikatakan bakal menghampiri angka RM 30k, jumlah yang tinggi untuk sesebuah model skuter 124cc.
Untuk pasaran negara jiran Indonesia, Italjet Dragster 200 versi Limited Edition dengan kelengkapan enjin 181cc terlebih dahulu telah diperkenalkan pada pertengahan bulan April 2021 yang lepas, dengan harga jualan sebanyak Rp. 145 juta, bersamaan nilai RM 42,414.64 mengikut kadar semasa. Untuk pasaran Malaysia, buat masa ini belum pasti sama ada Italjet Dragster 200 akan turut dilancarkan bersama-sama versi 124cc.
Italjet Dragster 125 dan Italjet Dragster 200 sebelum ini diperkenalkan buat pertama kali di pasaran Eropah, pada tahun 2020 yang lalu. Selain daripada perbezaan enjin, kedua-dua model mempunyai spesifikasi teknikal yang sama, termasuk dilengkapi sistem brek dengan ABS (front hydraulic disc brake 200 mm & rear hydraulic disc brake 190 mm).
Jika benar Italjet Dragster 125 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, mampukah ianya menarik perhatian pembeli? Dari aspek spesifikasi, skuter bergaya ranggi, sporty, dan agresif itu dikuasakan enjin 124cc (4-stroke, single cylinder, 4-valves, liquid-cooled, DOHC) bertaraf Euro 5, dengan gandingan sistem transmisi CVT. Kuasa maksimumnya mencapai 12.5hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum setinggi 10.5Nm @ 7,750rpm.
Italjet Dragster 125 dibangunkan dengan menggunakan casis trellis yang kukuh, sistem suspensi depan unik (I.S.S. single-arm and PAIOLI hydro-pneumatic adjustable shock absorber), sistem suspensi belakang tunggal (single hydro-pneumatic adjustable shock absorber), brek cakera dengan kaliper Brembo, dan kapasiti tangki bahan api 9.0 liter. Sistem lampu LED sepenuhnya, termasuk lampu depan yang terang (80,000 lumens).
Model skuter tersebut berdiri di atas tayar depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 120/70-12 dan 140/60-13, dengan ketinggian tempat duduk berada pada paras 770 mm. Berat kering skuter tersebut pula hanyalah 124 kg sahaja, sementara dimensi jarak rodanya mencapai ukuran 1,350 mm, panjang 1,890 mm dan lebar 750 mm.