CFMOTO 250CL-X Heritage 2022 kini rasmi diperkenalkan di pasaran China

Model retro moden terbaharu CFMOTO 250CL-X Heritage 2022 kini dengan rasminya diperkenalkan di pasaran China, tampil dalam dua pilihan warna yang menarik. Setakat ini harga jualan untuk model berkenaan masih belum diumumkan, namun dijangkakan ianya tidak jauh berbeza dengan harga model naked CFMOTO 250NK 2022 terbaharu.

CFMOTO 250CL-X Heritage diinspirasikan daripada model CFMOTO 700CL-X Heritage yang lebih besar, serta masih mengekalkan beberapa ciri yang sama seperti lampu LED depan dengan rekaan elemen X, termasuklah logo X di beberapa bahagian badan yang lain. Enjinnya pula hadir dalam sesaran hanya 249.2cc (Single cylinder, 4-stroke, Liquid cooled, 4-value, DOHC), yang digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Enjin tersebut menawarkan prestasi yang cukup memuaskan, dengan keluaran kuasa maksimum 20.5kW (27.5hp) @ 9,750rpm dan tork maksimum 22Nm @ 7,500rpm. Turut melengkapi sistem penjana kuasa itu ialah CF-SC Slipper Clutch, dan tidak ketinggalan juga ialah dua mod tunggangan. Model dengan berat hanya 155 kg itu seterusnya telah dibekalkan tangki petrol dengan kapasiti seluas 14.5 liter, untuk perjalanan lebih jauh.

Di bahagian suspensi, CFMOTO 250CL-X Heritage dilengkapi fork depan jenis terbalik dan suspensi belakang jenis monoshock. Sistem brek pula menggunakan cakera depan dan belakang, masing-masing berukuran 292 mm dan 220 mm, lengkap dengan sistem Continental ABS. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 795 mm, manakala tayar depan dan belakangnya masing-masing tampil dalam siri 110/70-R17 dan 150/60-R17.

Selain itu, CFMOTO 250CL-X Heritage turut dilengkapi sistem lampu LED, panel meter digital berbentuk bulat, kusyen tempat duduk yang selesa, dan corak tunggangan yang santai dan ergonomik. Untuk pasaran Malaysia, mungkin ianya juga bakal dilancarkan pada masa akan datang, seperti mana abangnya iaitu CFMOTO 700CL-X Heritage.

Sumber gambar : jddmoto.com