Boon Siew Honda perkenal warna baharu Mat Ballistic Black Metallic untuk Honda X-ADV 2022

Skuter kembara Honda X-ADV 2021 secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia pada tarikh 03hb. Mei 2021 yang lalu, dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl Deep Mud Gray, Grand Prix Red dan Graphite Black. Kini untuk musim 2022, model tersebut baru saja diperkenalkan dengan pilihan warna terbaharu Mat Ballistic Black Metallic.

Pilihan warna terbaharu itu telah menggantikan pilihan warna terdahulu Graphite Black, manakala dua pilihan warna terdahulu Pearl Deep Mud Gray dan Grand Prix Red masih lagi ditawarkan untuk musim ini. Walaupun menerima pilihan warna baharu, harga asas untuk model skuter adventure yang lasak itu kekal sama iaitu sebanyak RM 67,799.00.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Honda X-ADV 2022 ini ialah ianya didatangkan reka bentuk facelift yang lebih sporty dan agresif, lampu depan LED baharu, kerangka yang lebih ringan, ruang barangan yang lebih luas, pengecas USB dan panel meter TFT 5.0 inci baharu dengan teknologi canggih Honda Smartphone Voice Control System.

Selain itu, Honda X-ADV kini dilengkapi enjin bersesaran 745cc (liquid-cooled, 4-stroke, 8-valve, SOHC, parallel 2-cylinder) yang patuh piawaian emisi Euro 5, dengan padanan transmisi DCT (Dual Clutch Transmission) enam kelajuan. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 58.6PS @ 6,750rpm, dengan tork maksimum setinggi 69Nm @ 4,750rpm.

Model berkenaan turut dilengkapi sistem Throttle By Wire (TBW) dengan empat pilihan mod tunggangan seperti Rain, Standard, Gravel dan Sport, termasuklah tambahan mod User yang boleh disesuaikan (customisable). Sistem kawalan Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula beroperasi dengan lebih lancar melalui tiga peringkat intervensi.

Honda X-ADV 2022 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 13.2 liter, ketinggian tempat duduk 820 mm, fork depan USD 41 mm, suspensi belakang monoshock dengan Pro-Link swingarm, brek depan dwi-cakera 296 mm, brek cakera belakang tunggal 240 mm, sistem ABS dua saluran dan sistem lampu kecemasan Emergency Stop Signal (ESS).

Untuk maklumat yang lebih lengkap mengenai Honda X-ADV ini, anda boleh membaca artikel terdahulu seperti di bawah, sewaktu ianya diperkenalkan di pasaran Eropah :