Benelli Leoncino 125 2022 diperkenalkan dengan enjin 125cc

Di pasaran ketika ini, Benelli menawarkan beberapa buah model retro Leoncino, seperti Benelli Leoncino 250, Benelli Leoncino 500 dan Benelli Leoncino 800. Kini sebuah lagi model Leoncino diperkenalkan iaitu Benelli Leoncino 125 2022, dalam dua skim pilihan warna Green dan Grey, dan akan berada di pasaran bermula pada tahun depan.

Benelli Leoncino 125 merupakan model Leoncino dengan enjin paling kecil, apabila ianya dikuasakan enjin 125cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves, SOHC) yang menawarkan kuasa maksimum 12.8hp @ 9,500rpm dan tork maksimum 10Nm @ 8,500rpm. Enjin yang bertaraf Euro 5 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Menurut Benelli, Leoncino 125 menawarkan corak tunggangan maksimum yang lincah dan menyeronokkan, terima kasih kepada penggunaan kerangka tradisional trellis dan fork depan jenis terbalik 35 mm, termasuk suspensi belakang tunggal dengan travel 53 mm. Ketinggian tempat duduk 795 mm seterusnya memberikan lebih keselesaan.

Beralih ke bahagian brek, Benelli Leoncino 125 dilengkapi brek cakera depan 280 mm dengan kaliper tiga piston, manakala di belakangnya ialah brek cakera 220 mm dengan kaliper dua piston. Brek depan dan belakang itu turut hadir dengan sistem CBS. Tayar depan dan belakangnya pula didatangkan dalam siri 110/80-R17 dan 130/70-R17.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Benelli Leoncino 125 2022 termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD, dan tentunya lambang seekor singa yang berdiri di atas mudguard depan. Untuk pasaran Malaysia, model ini dijangka tidak akan dilancarkan, kerana pilihan yang telah ditawarkan ialah Benelli Leoncino 250.