Motosikal kapcai bakal diharamkan di pasaran Malaysia?

Baru-baru ini timbul lagi isu panas mengenai cadangan pengharaman motosikal kapcai atau moped di pasaran Malaysia. Cadangan separuh masak itu telah dilontarkan oleh seorang ‘pakar’ dengan alasan motosikal kapcai menjadi antara penyebab paling utama berlakunya peningkatan kadar kematian di kalangan pengguna motosikal tempatan.

Melihat kepada beberapa jumlah statistik kematian pengguna motosikal yang sebelum ini pernah diumumkan oleh pihak berkuasa, sememangnya kadar kematian di kalangan pengguna motosikal kapcai amat menakutkan. Malah pengguna motosikal kapcai juga antara penyumbang tertinggi di kalangan mangsa yang mengalami kecederaan parah.

Namun dengan hanya sekadar melontarkan cadangan untuk mengharamkan motosikal kapcai secara berperingkat dan digantikan dengan motosikal elektrik, adakah itu solusi terbaik yang kita ada setakat ini? Ibarat marahkan nyamuk, kelambu di bakar. Negara mana di dunia ini yang telah mengharamkan penggunaan motosikal kapcai @ moped?

Setakat ini jika tidak salah, pihak kerajaan Malaysia masih belum memberikan maklum balas terhadap cadangan tersebut. Mungkin kerana pihak berkuasa dan pihak kerajaan sendiri tahu, cadangan itu kurang munasabah dan pastinya sukar untuk dilaksanakan, tambahan pula undi 18 tahun bakal memainkan peranan besar dalam PRU15 nanti.

Ada banyak sebab kenapa motosikal kapcai tidak boleh diharamkan penggunaannya di negara kita pada ketika ini. Sebab utama ialah ekonomi. Motosikal kapcai merupakan salah satu sistem pengangkutan yang dijual pada harga mampu milik, kos penggunaan petrol yang menjimatkan, serta kos penyelenggaraan juga berada pada paras minima.

Senang cerita, motosikal kapcai adalah kenderaan utama untuk rakyat berpendapatan rendah, yang digunakan untuk pelbagai urusan seharian. Bayangkan rakyat Malaysia tanpa motosikal kapcai, mampukah mereka semua untuk beralih menggunakan jenis pengangkutan yang lain sepenuhnya seperti superbike, kereta atau motosikal elektrik?

Apa pula jaminannya motosikal elektrik yang dikatakan bakal menggantikan motosikal kapcai itu mampu dijual pada harga yang mampu milik, seterusnya akan mengurangkan jumlah kematian penggunanya di jalan raya? Bagaimana pula dengan pelbagai faktor lain yang turut sama menyumbang kepada berlakunya peningkatan kadar kemalangan?

Misalnya keadaan jalan raya yang rosak, penguatkuasaan undang-undang yang lemah, dan kurangnya kempen keselamatan jalan raya. Terdapat pelbagai cadangan lain yang perlu dipertimbangkan oleh ‘pakar’ dan juga pihak kerajaan, sebelum hanya mengambil langkah mudah untuk mengharamkan penggunaan motosikal kapcai di Malaysia.