Di samping memperkenalkan model terbaharu Ducati Scrambler 1100 Tribute PRO 2022 baru-baru ini, Ducati pada masa yang sama turut memperkenalkan sebuah lagi model scrambler terbaharu iaitu Ducati Scrambler Urban Motard 2022. Sesuai dengan namanya, model itu bakal menawarkan gaya tunggangan lincah di kawasan urban.
Bagi memberikan kelainan dan untuk lebih menarik perhatian ramai, Ducati Scrambler Urban Motard tampil dengan skim warna Star White Silk dan Ducati GP ’19 Red yang cukup menyerlah, dengan adunan jalur grafik energetik terbaharu di setiap sisi tangki bahan api yang diinspirasikan oleh ‘the world of street art and metropolitan graffiti’.
Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah rim berjejari (spoked aluminium wheel) yang dibalut tayar Pirelli Diablo Rosso III dalam siri 120/70-ZR17 (depan) dan 180/55-ZR17 (belakang), tempat duduk rata untuk tunggangan lebih dinamik, mudguard depan pada posisi yang lebih tinggi untuk dunia motard sebenar dan nombor plat di bahagian sisi.
Ducati Scrambler Urban Motard dikuasakan enjin berprestasi tinggi bersesaran 803cc (L-Twin, Desmodromic distribution, 2 valves per cylinder, air cooled), dengan keluaran maksimum 73hp @ 8,250rpm dan tork maksimum 66.2Nm @ 5,750rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan muffler ekzos berkembar.
Untuk prestasi pengendalian terbaik, ianya ditugaskan kepada fork depan terbalik 41 mm dan suspensi belakang tunggal (pre-load adjustable), kedua-duanya itu dibekalkan oleh Kayaba. Sistem brek pula menggabungkan cakera depan 330 mm (radial 4-piston calliper) dan cakera belakang 245 mm, dengan ABS cornering sebagai ciri standard.
Ducati Scrambler Urban Motard turut dilengkapi tangki bahan api maksimum 13.5 liter, sistem lampu LED sepenuhnya dengan lampu depan DRL, penel meter digital LCD dan juga kemudahan soket pengecas USB di bawah tempat duduknya. Ketinggian tempat duduk mencapai 805 mm, manakala berat keseluruhannya ialah 196 kg (kerb weight).