Pada tahun 2017 yang lepas, dunia permotoran tempatan gempar dengan kemunculan lakaran imej sebuah model super moped terbaharu, yang dikatakan bakal dilancarkan oleh Kawasaki. Berdasarkan maklumat yang tersebar, model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 175cc, lengkap dengan pelbagai komponen motosikal berkuasa tinggi.
Sejak dari itu ramai peminat yang menaruh harapan tinggi agar model Kawasaki Super Moped 175cc itu menjadi realiti. Namun begitu akhirnya terbongkar jua bahawa lakaran imej itu sebenarnya terhasil daripada imaginasi dan fantasi peminat tegar sahaja. Tidak mungkin pihak Kawasaki akan mengeluarkan kembali sebuah model moped terbaharu.
Berdasarkan maklumat terdahulu, lakaran imej Kawasaki Super Moped 175cc sporty itu dilakukan melalui pengubahsuaian atau pengeditan terhadap gambar sebenar jentera naked berprestasi tinggi Kawasaki Z1000. Ucapan tahniah perlu diberikan kepada pihak atau individu yang melakarkan imej tersebut, kerana hasilnya boleh dikatakan menarik.
Bagaimanapun apa yang dianggap hanya sebagai lakaran dan kemudiannya dilupakan, rupa-rupanya telah menjadi inspirasi kepada sebuah syarikat pengeluar motosikal dari negara China. Akhirnya kini muncul model moped terbaharu Rato SVR180, yang tampil dengan reka bentuk mirip lakaran imej model Kawasaki Super Moped 175cc yang asal.
Malah lebih mengejutkan ialah munculnya model terbaharu Jialing CoCo SVR 2022 yang tampil dengan enjin 180cc dan ekzos mirip Kawasaki Z1000, menjadikannya model yang hampir serupa jika dibandingkan dengan lakaran model Kawasaki Super Moped 175cc. Akhirnya kini tercapai sudah impian Ahmad-Ahmad yang selama ini begitu sabar menanti.
Apa yang boleh dikatakan, pengeluar motosikal dari China bijak mengambil setiap peluang yang ada di depan mata. Oleh kerana Kawasaki tidak mungkin akan mengeluarkan model lakaran itu, jadi apa salahnya mereka menghasilkan sebuah super moped mereka sendiri, tanpa perlu bersusah-payah untuk memerah otak mencari idea dalam seni reka bentuk.
Mungkin Ahmad Ahmad dan Muhamad Shamim merasa kecewa kerana Kawasaki Super Moped 175cc atau Modenasaki sehingga kini masih belum menjadi kenyataan. Namun sekurang-kurangnya Aveta dijangka melancarkan Rato SVR180 untuk pasaran tempatan tidak lama lagi, dan itulah versi paling hampir untuk model Kawasaki Super Moped 175cc.