Salah sebuah model moped terbaharu yang dijangka akan dilancarkan di pasaran negara kita tidak lama lagi ialah Rato SVR180, yang sebelum ini telah dikesan sedang ditunggang uji oleh Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. Model tersebut juga akan dilancarkan di negara China sebagai model Jialing SVR180, dan kini dikenali sebagai Jialing CoCo SVR 2022.
Menurut maklumat terkini dari negara China, Jialing CoCo SVR 2022 bakal tampil dalam versi perlumbaan Track Version, dengan spesifikasi teknikal yang lebih sporty berbanding versi standard. Agak mengejutkan sebenarnya apabila model tersebut kini dikatakan telah dilengkapi enjin baharu bersesaran 180cc, dengan gandingan transmisi enam kelajuan.
Enjin DOHC, empat injap dengan kelengkapan teknologi suntikan bahan api BOSCH EFI dan sistem penyejukan cecair itu seterusnya dikatakan mampu menghasilkan keluaran kuasa maksimum sehingga 17.43hp, dengan tork maksimum 15.5Nm. Prestasi kelajuan maksimumnya pula dikatakan mampu mencapai sehingga 130 km/j, agak memuaskan.
Jialing CoCo SVR turut dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 7.0 liter, panel meter digital TFT LCD, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan dan belakang, sistem lampu LED, pengecas USB, tayar depan 90/80-R17, tayar belakang 130/ 70-R17, dan muffler ekzos sporty yang mirip sistem ekzos daripada model Kawasaki Z1000.
Untuk pasaran Malaysia, Aveta SVR180 (mungkin akan diberikan nama baharu) setakat ini belum dapat dipastikan bilakah ianya akan dilancarkan, dan begitu juga dengan jumlah kapasiti enjinnya yang sebenar. Apabila dilancarkan nanti, harganya mungkin mencapai paras RM 8k, lebih tinggi daripada harga RM 6,688.00 untuk model Aveta V-13R 2021.
Sumber : newmotor.com.cn, jddmoto.com & motor.newmotor.com.cn