Bajaj Auto pada tarikh 28hb. Oktober 2021 yang lepas secara rasminya melancarkan dua model terbaharu Bajaj Pulsar F250 2021 dan Bajaj Pulsar N250 2021 untuk pasaran India. Bagi model Pulsar F250, dua pilihan warna ditawarkan iaitu Racing Red dan Techno Grey. Untuk model Pulsar N250 pula, ianya didatangkan pilihan warna tunggal Techno Grey.
Bajaj Pulsar F250 tampil sebagai varian ‘Semi-Faired Street Racer’, manakala bagi model Pulsar N250, ianya merupakan varian ‘Naked Streetfighter’. Kedua-dua model berkenaan dilengkapi enjin 249.07cc (Single cylinder, 4 stroke, SOHC, 2 valve, Oil cooled, FI) dengan kuasa maksimum 24.5PS @ 8,750rpm dan tork puncak 21.5Nm @ 6,500rpm. Enjin yang berprestasi itu dipadankan transmisi lima kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch.
Bajaj Pulsar F250 dan Bajaj Pulsar N250 kemudiannya dilengkapi tangki bahan api 14 liter, fork depan teleskopik 37 mm, suspensi belakang tunggal (Monoshock with Nitrox), brek cakera depan 300 mm dengan Single Channel ABS, brek cakera belakang 230 mm, tinggi tempat duduk 795 mm, tayar depan 100/80-R17 (tubeless), tayar belakang 130/70-R17 (tubeless), dan berat masing-masing 164 kg (Pulsar F250) dan 162 kg (Pulsar N250).
Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi kedua-dua model sporty itu termasuklah lampu depan LED jenis projektor dengan lampu LED DRL (Bi functional LED projector headlamp with position lamp), penunjuk gear (Gear Indicator) dan port pengecas telefon bimbit USB. Untuk pasaran India, Bajaj Pulsar F250 dijual dengan harga INR 140,000 (RM 7,849.97), manakala Bajaj Pulsar N250 boleh dimiliki dengan harga INR 138,000 (RM 7,737.83).
Setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada kedua-dua model tersebut akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada masa akan datang, sebagai pengganti kepada dua model yang ditawarkan oleh Modenas sebelum ini iaitu Modenas Pulsar RS200 2021 dan Modenas Pulsar NS200 ABS 2021. Apa pun kita tunggu perkembangan selanjutnya.