Untuk pasaran Malaysia, Modenas Dominar D400 2021 versi naik taraf terkini baru saja dilancarkan dalam bulan September yang lepas. Namun untuk pasaran India, model yang sama iaitu Bajaj Dominar 400 2022 telah pun dilancarkan pada kelmarin, yang kini tampil dengan pelbagai kelengkapan aksesori touring asli serba lengkap buatan dari kilang.
Barisan kelengkapan aksesori touring asli yang melengkapi model itu adalah seperti ‘Tall Visor’, ‘Hand Guard’, ‘USB Charging Port’, ‘Navigation Stay’, ‘Leg Guard’, ‘Engine Bash Plate’, ‘Carrier + Back Stopper’, dan juga termasuklah aksesori ‘Saddle Stay’ yang dijual secara berasingan. Aspek spesifikasi teknikal yang lain kekal sama dan tiada perubahan.
Melalui naik taraf terkini dengan pemasangan pelbagai aksesori asli yang begitu menarik itu, Bajaj Dominar 400 2022 kini lebih praktikal untuk aktiviti tunggangan touring jarak jauh. Boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Aurora Green dan Black Carcoal, harga jualan yang ditawarkan adalah bermula dari INR 216,648, iaitu bersamaan hanya RM 11,977.80.
Imbas kembali spesifikasinya, Bajaj Dominar 400 2022 dikuasakan enjin 373.3cc (Single cylinder, DOHC, Liquid cooled, Triple Spark, FI), dipadankan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, dan menghasilkan kuasa maksimum 40PS @ 8,800rpm dan tork maksimum 35Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti penuh 13 liter.
Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah fork depan USD, sistem brek cakera dengan ABS dual-channel, muffler ekzos jenis berkembar, sistem lampu LED, panel meter digital LCD dan berat hanya 193 kg (kerb weight). Untuk pasaran Malaysia, Modenas Dominar D400 tentunya akan turut menerima versi naik taraf yang serupa pada masa akan datang.