Spyshot : Skuter Longjia EasyMax 2021 sedang diuji di jalan raya Malaysia, adakah bakal dilancarkan tidak lama lagi?

Baru-baru ini model cruiser Longjia V-BOB 250i telah berjaya dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di Malaysia, bersama-sama sebuah model moped terbaharu yang setakat ini dipercayai sebagai model WMoto F-15. Melalui imej spyshot yang berjaya dirakamkan itu, terdapat sebuah lagi model skuter misteri yang turut sama menjalani ujian jalan raya.

Terkini melalui paparan imej spyshot seperti di atas, akhirnya persoalan mengenai model skuter apakah itu telah pun terjawab. Model skuter yang sedang menjalani ujian jalan raya itu ialah Longjia EasyMax, yang sebelum ini telah ditawarkan di pasaran China dan juga di pasaran global, dalam tiga pilihan kapasiti enjin sama ada 278.2cc, 171.7cc atau 124.6cc.

Untuk pasaran Thailand, model tersebut dilancarkan dengan nama Keeway GT270 2021, dengan kelengkapan enjin bersesaran 278.2cc. Untuk pasaran Malaysia sekiranya ianya dilancarkan nanti, pilihan enjin yang akan ditawarkan mungkin hanya bersesaran 171.7cc. Ini kerana pilihan enjin di bawah 250cc lebih sesuai untuk pemilik lesen dalam kelas B2.

Longjia EasyMax dengan enjin 171.7cc akan menawarkan kuasa maksimum 11.39hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 12Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik C.V.T. Berdasarkan maklumat yang terhad, skuter Longjia EasyMax ini dijangka bakal dilancarkan oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada tahun depan.

Sumber gambar spyshot : Hasrul Nizam FB