WMoto Malaysia sebelum ini telah dilaporkan bakal melancarkan model skuter terbaharu WMoto Xtreme 250 2022, yang diasaskan daripada model skuter Longjia XDV300i 2022 yang baru-baru ini diperkenalkan di pasaran China. Selain itu sebuah lagi model motosikal keluaran Longjia dijangka akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Model tersebut ialah Longjia V-BOB 250i 2021, sebuah model bergaya cruiser yang turut diperkenalkan di pasaran Indonesia sebagai model Keeway V250 FI. Setakat ini unit ujian Longjia V-BOB 250i telah berjaya dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di Malaysia, bersama-sama model moped terbaharu WMoto F-15 dan sebuah model skuter misteri.
Longjia V-BOB 250i apabila dilancarkan nanti, ianya mungkin diletakkan di bawah jenama WMoto atau Keeway, kedua-duanya diedarkan untuk pasaran Malaysia oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Selain reka bentuknya yang menarik, Longjia V-BOB 250i dikuasakan enjin bersesaran 249cc (4 stroke, air cooling, 2 cylinders) dalam konfigurasi V-Twin.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 18.10hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 16Nm @ 7,500rpm, dan seterusnya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan bersama-sama sistem pacuan akhir menggunakan belt. Tangki bahan api model tersebut mencapai kapasiti penuh 20 liter, yang pastinya sangat sesuai untuk aktiviti tunggangan jarak jauh.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Longjia V-BOB 250i ini termasuklah fork depan jenis terbalik, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem ekzos berkembar, ketinggian tempat duduk hanya 715 mm dan berat 166 kg (net weight). Untuk maklumat yang lebih tepat, sama-samalah kita tunggu pelancaran rasminya nanti.
Sumber gambar spyshot : Harimau Berantai FB