Yamaha RX-S keluaran tahun 1988, model klasik yang kini bertaraf legenda

Jika anda masih ingat, Arena Motosikal pernah menyiarkan artikel ringkas tentang model Yamaha RX-S keluaran tahun 1981 sebelum ini. Kali ini, disiarkan pula gambar-gambar menarik model tersebut yang dikatakan model keluaran tahun 1988, yang kini tampil lebih menarik dalam dua skim pilihan warna, dan pastinya dengan gaya klasik yang tersendiri.

Sebelum kemunculan model Yamaha RX-Z pada tahun 1985, Yamaha RX-S merupakan model jalanan popular di pasaran Malaysia, kerana reka bentuknya yang sporty dan enjin yang berkuasa pada ketika itu. Sayangnya tidak banyak maklumat yang ada mengenai model Yamaha RX-S ini sewaktu zaman kegemilangannya pada suatu ketika dahulu.

Setakat ini di dalam laman jual beli popular Mudah.my, masih terdapat beberapa buah unit terpakai Yamaha RX-S yang ditawarkan untuk jualan, dengan harga tertingginya sekitar RM11k. Model bertaraf legenda ini pastinya masih mempunyai peminat setia, sama ada yang mahu memilikinya sebagai koleksi atau pun sebagai motosikal tunggangan harian.

Menyentuh aspek spesifikasi enjinnya, Yamaha RX-S dikuasakan enjin dua lejang dalam sesaran 115cc, dan dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan. Menurut sumber yang tidak dapat disahkan, kelajuan maksimumnya dikatakan mencecah paras 140 – 160 km/j. Antara sebab ianya popular di kebanyakan pasaran ialah kerana enjinnya yang berkuasa.