Honda Winner X merupakan salah sebuah model moped popular di pasaran Vietnam, dan ianya memberikan saingan sengit terhadap model Yamaha Exciter 150 dan juga Yamaha Exciter 155 VVA. Bagaimanapun sejak pertengahan tahun 2020 yang lalu, prestasi jualan Honda Winner X di pasaran Vietnam boleh dikatakan agak kurang memberangsangkan.
Berdasarkan laporan terdahulu mengenai perang harga di antara Honda Winner X dan Yamaha Exciter 150, harga Honda Winner X pada bulan September 2020 telah mencapai paras terendah RM 5,370.08. Kemudiannya pada bulan Mac 2021, harganya naik kembali ke paras RM 6,690.47, dan menjunam semula ke paras RM 5,889.26 pada Ogos 2021.
Kini pada Oktober 2021, harga jualan Honda Winner X kekal tidak berubah, di mana harga terbaharunya masih lagi berada di bawah harga jualan rasmi yang ditetapkan oleh Honda Motor Vietnam. Sebagai panduan, harga jualan rasmi Honda Winner X di pasaran Vietnam bermula dari VND 46,090,000 (RM 8,464.38) sehingga VND 50,090,000 (RM 9,198.98).
Menurut sumber terkini dari Vietnam, harga jualan Honda Winner X yang ditawarkan oleh wakil jualan dan pengedar Honda di Vietnam pada bulan Oktober 2021 bermula dari hanya serendah VND 32,000,000 (RM 5,876.77), sehingga ke paras tertinggi VND 33,000,000 (RM 6,060.42) sahaja. Harga tersebut berada di bawah harga rasmi yang telah ditetapkan.
Terdapat beberapa sebab kenapa harga Honda Winner X di pasaran Vietnam ditawarkan pada harga yang lebih rendah. Antaranya ialah model tersebut menerima saingan sengit daripada model Yamaha Exciter 150 dan Yamaha Exciter 155 VVA, dan juga disebabkan oleh masalah pandemik Covid 19 yang menyebabkan berlakunya kurang permintaan.
Oleh sebab itu, wakil penjual Honda Winner X di pasaran Vietnam terpaksa memberikan diskaun dan insentif dalam jumlah yang besar, demi meningkatkan kembali prestasi jualan model tersebut, di samping untuk menghabiskan stok sedia ada. Tambahan pula sebelum ini terdengar desas-desus mengenai pelancaran Honda Winner X 160 tidak lama lagi.
Dengan penurunan harga Honda Winner X di pasaran Vietnam sejak beberapa bulan yang lepas, sememangnya ianya telah memberikan peluang kepada peminat model tersebut di pasaran sana untuk memiliki sebuah jentera moped hebat pada harga berpatutan. Cuma agak menghairankan setelah beberapa bulan berlalu, harga jualannya masih belum pulih.
Kesimpulannya di pasaran Vietnam, prestasi jualan Honda Winner X boleh dikatakan tidak begitu menyerlah. Pada masa yang sama, harga jualan Yamaha Exciter 150 dan Yamaha Exciter 155 VVA kekal pada sekitar harga rasmi yang ditetapkan. Untuk pasaran Malaysia nanti, situasi penurunan harga untuk model Honda Winner X pastinya tidak akan berlaku.
Sumber : 24h.com.vn