Di pasaran Thailand, Yamaha NMAX 155 2021 ditawarkan dalam pilihan dua varian iaitu Standard dan Connected. Bagi varian Standard, model skuter tersebut baru-baru ini telah menerima pilihan warna baharu Power Grey, menjadikan pilihan warna yang ditawarkan kini kepada empat kesemuanya termasuk Phantom Blue, Anodized Red dan Matte Black.
Pilihan warna baharu Power Grey yang kelihatan ranggi itu sebenarnya turut ditawarkan untuk Yamaha NMAX 155 2021 di pasaran Malaysia, yang diperkenalkan pada bulan Mei 2021 yang lalu. Satu lagi pilihan warna yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia ialah Icon Grey, dan pilihan warna itu turut ditawarkan di pasaran Thailand untuk varian Connected.
Di bahagian teknikal, Yamaha NMAX 155 2021 di pasaran Thailand dilengkapi enjin 155cc VVA (Variable Valve Actuation), dengan keluaran kuasa maksimum 15.15hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm. Enjin yang berprestasi dan cekap penggunaan bahan api itu kemudiannya digandingkan dengan transmisi automatik V-belt yang lancar.
Model tersebut turut dilengkapi teknologi Smart Motor Generator untuk penghidupan enjin yang lebih senyap, Smart Key System, sistem Stop & Start, panel instrumen digital LCD, lampu depan dan lampu belakang LED, lampu hazard, soket pengecas 12V, tangki bahan api 7.1 liter, ruangan di bawah tempat duduk 23.3 liter, dan sistem brek ABS dua saluran.
Varian Connected pula hadir dengan dua ciri premium tambahan iaitu sistem sambungan canggih Yamaha Y-Connect dan Traction Control System (TCS). Untuk pasaran Thailand, Yamaha NMAX 155 2021 varian Standard dijual pada harga THB 87,400 (RM 10,886.51), manakala harga untuk varian Connected adalah sebanyak THB 91,900 (RM 11,447.02).