Ducati Multistrada V2 dan V2 S 2022 diperkenalkan, akan tiba di pasaran Eropah mulai November 2021

Ducati baru-baru ini telah memperkenalkan model kembara terbaharu Ducati Multistrada V2 dan Ducati Multistrada V2 S 2022, yang akan memulakan jualannya secara rasmi di pasaran Eropah mulai bulan November 2021. Ducati Multistrada V2 dan V2 S merupakan pengganti kepada model terdahulu Ducati Multistrada 950 dan Ducati Multistrada 950 S.

Dilengkapi enjin dalam sesaran 937cc (Ducati Testastretta, L-Twin cylinder, Desmodromic valvetrain, 4 valves per cylinder, Liquid cooled), jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 113hp @ 9,000rpm, dengan tork puncak 96Nm @ 7,750rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Di bahagian suspensi, Ducati Multistrada V2 dilengkapi fork depan upside down 48 mm boleh laras sepenuhnya, dan digandingkan dengan suspensi monoshock belakang yang turut mempunyai ciri boleh laras sepenuhnya. Sistem brek daripada Brembo di bahagian roda depan dan belakang melengkapi ciri keselamatan penting untuk model kembara itu.

Ducati Multistrada V2 dan V2 S mempunyai perbezaan spesifikasi yang tersendiri. Untuk varian V2 S, sistem transmisinya turut dilengkapi dengan sistem Quick Shift Up & Down sebagai ciri standard, sementara sistem suspensinya pula tampil lebih premium apabila menggunakan sistem suspensi elektronik Skyhook dengan ciri boleh laras sepenuhnya.

Kedua-dua varian V2 dan V2 S itu seterusnya dilengkapi pakej serba lengkap, antaranya termasuklah ABS Cornering, Ducati Traction Control, Vehicle Hold Control, empat pilihan Riding Modes (Sport, Touring, Urban, Enduro), Power Modes, dan juga ciri baharu Ducati Brake Light System yang akan beroperasi dalam situasi pembrekan secara mendadak.

Bagi varian V2 S, ianya turut dilengkapi sistem Cruise Control, sistem lampu depan LED sepenuhnya dengan fungsi Ducati Cornering Lights, sistem Hands Free, panel instrumen 5.0 inci TFT berwarna dengan paparan dalam resolusi tinggi dan antaramuka yang intuitif, dan diikuti butang kawalan pada handlebar dengan ciri backlit (backlit handlebar controls).

Ducati Multistrada V2 dan V2 S seterusnya dilengkapi sepasang rim aloi yang ringan, dan dipasangkan tayar depan dan belakang masing-masing dalam ukuran 19 inci dan 17 inci. Tinggi tempat duduk berada pada paras 830 mm, dan berat kering untuk V2 ialah 199 kg dan 202 kg untuk V2 S. Kapasiti tangki bahan api untuk kedua-duanya pula ialah 20 liter.

Ducati Multistrada V2 2022 dan Ducati Multistrada V2 S 2022 masing-masing ditawarkan dalam pilihan warna “Ducati Red” dengan rim roda berwarna hitam. Juga terdapat pilihan warna kedua iaitu “Street Grey” dengan kerangka berwarna hitam dan padanan rim roda berwarna “GP Red”, namun pilihan warna itu hanya eksklusif untuk varian V2 S sahaja.

Untuk keluarga Multistrada V2 berkenaan, Ducati turut menyediakan dua tahap trim yang boleh dipesan secara terus dari kilang. Bagi Trim Essential, ianya tersedia untuk kedua-dua varian Multistrada V2 dan Multistrada V2 S, sementara trim Travel dengan tambahan side bags, heated grips dan central stand, hanya boleh dipesan untuk Multistrada V2 S.

Galeri : Ducati Multistrada V2 2022

Galeri : Ducati Multistrada V2 S 2022