Jentera Kawasaki Racing Team WorldSBK tampil dengan jalur warna klasik, sempena sambutan ulangtahun kali ke-125

Kawasaki Racing Team (KRT) memperkenalkan dua jalur warna (livery) klasik untuk dua jentera perlumbaannya di dalam WorldSBK 2021, yang akan berentap di litar Circuito San Juan Villicum, Argentina, dalam pusingan seterusnya pada 15 – 17 Oktober 2021. Kedua-dua jentera itu akan ditunggang oleh pelumba handalan Jonathan Rea dan Alex Lowes.

Pengenalan kedua-dua jalur warna klasik itu juga bersempena sambutan ulangtahun kali ke-125 untuk syarikat tersebut, yang baru-baru ini telah muncul sebagai sebuah syarikat baharu dengan menggunakan logo river mark. Ianya juga menandakan kemunculan era baharu dalam meraikan masa lampau, masa sekarang dan masa depan Kawasaki.

Menurut Kawasaki, jalur warna untuk jentera Rea diilhamkan daripada jentera pelumbaan Kawasaki ZXR 750 H2, dalam warna hijau, putih dan biru, yang ditunggang oleh pelumba terkenal Scott Russel. Beliau dinobatkan sebagai juara dalam perlumbaan di litar Daytona, Florida pada tahun 1993, dan popular dengan panggilan “Mr Daytona” atas kejayaannya.

Untuk jentera Lowes pula, ianya diinspirasikan daripada model Kawasaki GPZ900R yang ditunggang oleh aktor terkenal Tom Cruise di dalam filem pecah panggung Top Gun yang ditayangkan pada tahun 1986. Dalam filem itu, Kawasaki GPZ900R muncul dalam jalur warna merah dan hitam, dan kini menjadi replika untuk jentera ZX-10RR milik Lowes.

Untuk peminat Kawasaki tegar terutamanya di Malaysia, kemunculan semula kedua-dua jalur warna atau livery klasik itu pastinya mengimbau kenangan lalu. Mungkin ianya boleh menjadi inspirasi kepada mana-mana pemilik jentera Kawasaki untuk menjadikan jentera mereka sebagai replika kepada dua jentera klasik Kawasaki yang cukup terkenal itu.

Sumber : WorldSBK