HLYM perkenal Yamaha MT-09 2021 dan Yamaha Tracer 9 GT 2021, harga akan diumumkan pada 21 November 2021

Selain daripada pelancaran rasmi Yamaha TMAX 560 2021, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) semalam turut membuat kejutan dengan memperkenalkan dua model lain iaitu Yamaha MT-09 2021 dan Yamaha Tracer 9 GT 2021. Bagaimanapun harga jualan rasmi untuk kedua-dua model itu hanya akan diumumkan pada tarikh 21 November 2021.

Yamaha MT-09 2021 dan Yamaha Tracer 9 GT 2021 merupakan antara model terbaharu yang ditunggu-tunggu kemasukannya ke pasaran Malaysia. Kedua-dua model berkenaan telah diperkenalkan secara rasmi di pasaran luar negara sejak hampir setahun yang lalu, dengan penampilan serba baharu dan enjin yang lebih besar dan prestasi lebih berkuasa.

Yamaha MT-09 2021 dan Yamaha Tracer 9 GT 2021 masing-masing kini dikuasakan enjin berkapasiti 889cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC) yang bertaraf Euro 5. Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Up-and-down Quick Shift System (QSS) untuk penukaran gear yang lebih lancar dan pantas.

Enjin berprestasi tinggi itu kemudiannya menjana kuasa maksimum 119PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 93Nm @ 7,000rpm. Yamaha MT-09 2021 dilengkapi tangki bahan api 14 liter, manakala Yamaha Tracer 9 GT 2021 mampu pergi lebih jauh dengan tangki bahan api 18 liter. Berat basah untuk kedua-dua model berkenaan mencapai 189 kg dan 220 kg.

Spesifikasi serba lengkap yang lain termasuklah unit IMU 6-axis, Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), LIFt Control System (LIF), Brake Control (BC), fork depan terbalik 41 mm KYB boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang KYB boleh laras, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter TFT 3.5 inci dan lampu LED sepenuhnya.

Sebagai sebuah model touring, Yamaha Tracer 9 GT 2021 turut dilengkapi sistem cruise control untuk tunggangan jarak jauh yang lebih selesa. Jika anda berhasrat untuk memiliki mana-mana model berkenaan, atau mungkin kedua-duanya sekali, tentunya sudah boleh membuat tempahan rasmi di mana-mana cawangan pengedar Yamaha yang berdekatan.

Galeri : Yamaha MT-09 2021

Galeri : Yamaha Tracer 9 GT 2021