Kawasaki Ninja ZX-10R 2022 tampil dengan pilihan warna baharu di pasaran USA, harga bermula dari $16,899

Model superbike berkuasa tinggi Kawasaki Ninja ZX-10R 2022 di pasaran USA kini tampil dengan pilihan warna terbaharu, yang dikenali dengan nama Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Diablo Black. Warna terbaharu itu ditawarkan bersama-sama pilihan warna terdahulu Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White, atau dikenali sebagai KRT Edition.

Untuk pasaran USA, Kawasaki Ninja ZX-10R 2022 didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Non-ABS dan ABS. Untuk model dengan warna Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Diablo Black, harga jualan untuk varian Non-ABS ialah $16,899 (RM 70,164.65), manakala varian ABS berharga sebanyak $17,899, iaitu bersamaan nilai RM 74,316.65.

Bagi model dengan pilihan warna KRT Edition, varian Non-ABS dan ABS masing-masing dijual pada harga sebanyak $17,199 (RM 71,410.25) dan $18,199 (RM 75,562.25). Beralih ke bahagian spesifikasi teknikalnya, tiada sebarang perubahan. Ini bermakna model tahun 2022 hanya menerima kemasan warna terbaharu sahaja berbanding model tahun 2021.

Kawasaki Ninja ZX-10R 2022 dikuasakan enjin bersesaran 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin bertaraf Euro 5 itu kini lebih bersih dan mesra alam, dengan hamburan kuasa maksimum 203PS @ 13,200rpm (213PS with RAM Air) dan tork puncak pada angka 114.9Nm @ 11,400rpm.

Teknologi canggih dan terkini yang melengkapi model berkenaan termasuklah Kawasaki Cornering Management Function (KCMF), Bosch IMU, Sport-Kawasaki TRaction Control (S-KTRC), Kawasaki Launch Control Mode (KLCM), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Engine Brake Control, Kawasaki Quick Shifter (KQS), Power Modes, sistem suspensi berprestasi tinggi Showa dan Öhlins Electronic Steering Damper.

Spesifikasi seterusnya yang melengkapi Ninja ZX-10R 2022 ini termasuklah air-cooled oil cooler baharu, mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider (manual), panel instrumen digital TFT (with smartphone connectivity via RIDEOLOGY THE APP), sistem kawalan pelayaran elektronik (Electronic Cruise Control), dan sistem brek depan Brembo dengan cakera berkembar 330 mm dan kaliper empat piston untuk tahap keselamatan tertinggi.

Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki Ninja ZX-10R berwajah baharu ini belum dilancarkan, walaupun negara jiran seperti Indonesia dan Thailand telah pun menerima pelancarannya sebelum ini. Mungkin selepas ini ianya akan dibawa masuk oleh EMOS (Modenas) yang baru-baru ini telah dilantik sebagai pengedar eksklusif Kawasaki untuk pasaran Malaysia.