Pengeluar motosikal ternama Zhejiang Qianjiang Motorcycle Co., Ltd. yang berasal dari negara China ketika ini ialah pemilik kepada jenama motosikal Benelli dan juga QJ Motor. Benelli merupakan pengeluar motosikal bertaraf antarabangsa, manakala QJ Motor lebih terkenal di pasaran domestik China dengan pelbagai model yang menarik dan moden.
Apa yang mengejutkan ialah QJ Motor kini telah meluaskan lagi pasarannya ke pasaran Malaysia, dan telah melantik syarikat tempatan MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. sebagai pengedar eksklusif. Ketika ini MForce ialah pengedar rasmi untuk beberapa jenama lain seperti Benelli, SYM, WMoto, SM Sport, Brixton Motorcycles, Keeway dan juga Niu.
Menurut MForce, kemasukan pertama model-model motosikal keluaran QJ Motor untuk pasaran Malaysia akan bermula pada suku kedua tahun 2022 akan datang. Buat masa ini belum dapat dipastikan model manakah yang akan dibawa masuk oleh QJ Motor, namun sudah pasti ianya akan memenuhi citarasa peminat motosikal di pasaran tempatan.
Besar kemungkinan model-model yang akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia itu nanti termasuklah model QJ SRT 800, QJ SRK 600, QJ Race 250 dan sebagainya. Mforce kini sedang giat menjalankan ujian ketahanan ke atas beberapa model keluaran QJ Motor bagi memastikan kualiti keseluruhan model-model itu berada dalam keadaan maksimum.