Honda XBlade merupakan salah sebuah model motosikal naked keluaran Honda yang ditawarkan di pasaran India dan juga Bangladesh. Model tersebut mempunyai penampilan yang sporty dan dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik. Terkini untuk pasaran Bangladesh, Honda XBlade 2021 dalam versi dengan brek ABS baru saja dilancarkan.
Berbanding versi Standard yang telah pun ditawarkan di pasaran Bangladesh sebelum ini, versi ABS kini tampil dengan brek cakera depan dan belakang, dan turut dilengkapi sistem brek ABS (Single Channel Anti-Lock Braking System) di bahagian roda depannya. Sistem brek ABS tersebut menawarkan tahap kawalan dan pemberhentian yang lebih cekap.
Honda XBlade ABS 2021 dikuasakan enjin dalam sesaran 163cc (4-stroke, SI engine, Air-cooled) dengan sistem penyampaian bahan api karburetor, seterusnya dipadankan kotak gear lima kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin yang cekap penggunaan bahan api itu ialah 14.13PS @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,000rpm.
Antara spesifikasi teknikal lain yang melengkapi Honda XBlade ABS termasuklah kapasiti tangki bahan api 12 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, lampu depan dan belakang LED, lampu hazard untuk ciri keselamatan yang lebih baik, paparan panel meter digital dengan pelbagai informasi, dan saiz roda belakang selebar 130 mm.
Untuk pasaran Bangladesh, harga Honda XBlade 2021 versi Standard ialah BDT 1,73,900 (RM 8,498.69), sementara Honda XBlade ABS 2021 ditawarkan pada harga BDT 1,92,000 (RM 9,383.26). Akhir sekali, Honda XBlade mempunyai pilihan empat warna menarik, dan didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000 km.