Kawasaki Ninja ZX-6R 2022 tampil dengan pilihan warna terbaharu untuk pasaran USA, harga bermula dari $10,499

Untuk pasaran USA, Kawasaki Ninja ZX-6R 2022 baru-baru ini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu yang lebih sporty iaitu Metallic Matte Twilight Blue / Metallic Diablo Black dan Metallic Matte Graphenesteel Gray / Metallic Diablo Black. Pilihan warna Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White (KRT Edition) juga masih ditawarkan untuk musim 2022.

Kawasaki Ninja ZX-6R 2022 dengan dua pilihan warna terbaharu itu boleh dimiliki dengan harga jualan sebanyak $10,499 (RM 43,870.07), manakala bagi model KRT Edition, versi Non-ABS ditawarkan dengan harga $10,799 (RM 45,123.62) dan $11,799 (RM 49,302.12) untuk versi ABS. Spesifikasi teknikal pula masih kekal sama seperti model tahun 2021.

Kawasaki Ninja ZX-6R 2022 dikuasakan enjin bersesaran 636cc (4-stroke, In-Line Four, DOHC, 16-valve, liquid-cooled), yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah keluaran kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berprestasi tinggi itu mencapai 136PS @ 13,500rpm, dengan tork maksimum 70.8Nm @ 11,000rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah sistem Assist & Slipper Clutch, Kawasaki Quick Shifter (KQS), fork depan SHOWA SFF-BP 41 mm, Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, lampu depan dan belakang LED, serta paparan skrin LCD dengan pelbagai informasi berguna.

Kawasaki Ninja ZX-6R 2022 dilengkapi tangki bahan api dengan isian maksimum 17 liter, dan berat (curb weight) mencapai angka 193 kg (Non-ABS) dan 195 kg (ABS). Anggaran kelajuan maksimumnya pula dikatakan mencecah 280 km/j, sangat impresif. Setakat ini belum dapat dipastikan bilakah generasi serba baharu Ninja ZX-6R akan diperkenalkan.