Model skuter adventure Honda ADV150 diperkenalkan buat pertama kali untuk pasaran Indonesia pada tahun 2019 yang lalu. Model tersebut ternyata sangat popular kerana reka bentuknya yang sporty, di samping ciri-ciri menarik yang ditawarkan. Sehingga kini Honda ADV150 telah dilancarkan di banyak pasaran global termasuklah di pasaran Malaysia.
Honda ADV150 kemudiannya telah menjadi pencetus kepada model-model skuter buatan China seperti Lifan KPV150 dan Dayang ADV150, yang masing-masing dilengkapi enjin dalam sesaran yang sama iaitu 150cc. Terkini, sebuah lagi model skuter yang diilhamkan daripada Honda ADV150 telah muncul di pasaran China, dengan rekaan hampir sama.
Dikenali dengan nama MotoSuper Advisa 150, tidak syak lagi bahawa model berkenaan sememangnya mahu menjadi seperti model Honda ADV150, atau setidak-tidaknya mahu menawarkan pilihan yang lebih segar kepada pengguna di pasaran China. Oleh itu adakah MotoSuper Advisa 150 mempunyai spesifikasi yang lebih baik daripada Honda ADV150?
Berdasarkan maklumat rasmi, MotoSuper Advisa 150 dilengkapi enjin 150cc (1-cylinder, 4-stroke, water-cooled) dengan kuasa maksimum 13.9kW, atau bersamaan 18.64hp yang dirasakan terlalu tinggi. Tidak pasti sama ada berlakunya kesilapan informasi, sementara jumlah tork yang dihasilkan pula boleh dikatakan agak rendah iaitu hanya 10.2Nm sahaja.
Enjin tersebut turut dilengkapi sistem Delfi EFI, dan didatangkan sistem ACG & Idling Stop (pilihan) yang canggih. Kelebihan lain yang ditawarkan termasuklah kerangka yang kukuh, sistem suspensi yang tahan lasak dan selesa, dan tayar tubeless CST (depan 110/80-14, belakang 130/70-13) yang mampu meredah pelbagai jalan dan laluan yang mencabar.
Lebih menarik lagi ialah model skuter tersebut turut dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang, dengan ABS dua saluran sebagai kelengkapan pilihan, tangki bahan api 13 liter, sistem lampu LED sepenuhnya, port pengecas USB berkembar, sistem kunci pintar Passive Keyless Entry untuk lebih kemudahan, dan enam pilihan warna yang menarik.
Untuk pasaran China, MotoSuper Advisa 150 ditawarkan dengan harga jualan sebanyak CNY 12,980 sahaja, bersamaan RM 8,416.15. Menurut maklumat daripada pengeluarnya, model skuter adventure berkenaan kini bersedia untuk dieksport ke pasaran luar negara. Apa pula pendapat anda jika ianya turut dibawa masuk ke pasaran Malaysia selepas ini?
Sumber : i-motor.com.cn & 3g.163.com