Yamaha RX-Z 135 merupakan sebuah model motosikal bertaraf legenda, dan sehingga kini model tersebut masih mempunyai ramai peminat setia. Sejak beberapa tahun yang lalu, harga terpakai untuk Yamaha RX-Z telah meningkat dengan begitu tinggi, sehingga ada yang mencecah puluhan ribu ringgit, namun masih ada yang sanggup membelinya.
Terkini, sebuah Yamaha RX-Z berwarna ‘biru bohjan’ berjaya dijual pada harga RM 60k, dan dibeli secara tunai oleh seorang pembeli misteri yang berasal dari Kedah. Menurut penjual iaitu Joe Shaari, Yamaha RX-Z tersebut pada mulanya ditawarkan pada harga asal sebanyak RM 62k, bersama-sama sebuah topi keledar Bell berwarna oren dengan harga RM 65k. Jualan kombo untuk kedua-duanya hanya sebanyak RM 122k sahaja.
Tambah beliau lagi, Yamaha RX-Z yang berjaya dijual pada harga jualan tunai RM 60k itu merupakan set orimoto, dengan 90 peratus daripadanya merupakan stok NOS (New Old Stock). Badan motosikal pula telah dicat semula, seperti mana yang kita dapat lihat melalui gambar-gambar menarik model itu, yang dipaparkan di dalam galeri di bawah.
Mungkin ada yang mengatakan jualan motosikal Yamaha RX-Z itu hanyalah ‘marketing’ atau gimik sahaja, kerana harga yang ditetapkan terlalu tinggi. Namun sememangnya di pasaran tempatan ketika ini, model legenda itu masih mendapat permintaan yang tinggi, terutamanya untuk model-model yang masih berada dalam keadaan baik dan original.
Tambahan pula untuk ‘pemberani’ yang sanggup mengeluarkan modal yang tinggi untuk memiliki sebuah motosikal terpakai, duit bukanlah suatu masalah bagi mereka. Di mana ada minat dan kemahuan, mereka sanggup berbelanja besar, asalkan apa yang selama ini diidam-idamkan akhirnya menjadi kenyataan. Akhir sekali, apa pula pendapat anda?
Sumber : Joe Shaari FB & Faris Shaari FB