Honda Super Cub C125 2022 di pasaran Jepun kini dilengkapi enjin yang lebih bersih, “pillion seat” sebagai aksesori pilihan

Selepas pasaran Eropah dan juga Indonesia, model kapcai bergaya klasik iaitu Honda Super Cub C125 2022 kini akan berada di pasaran Jepun mulai 27hb. September 2021. Untuk pasaran negara matahari terbit itu, dua pilihan warna telah disediakan iaitu Pearl Niltaba Blue dan Pearl Nebula Red, dengan harga jualan 440,000 Yen (RM 16,686.91).

Berbanding model terdahulu, Honda Super Cub C125 2022 kini dilengkapi enjin yang lebih mesra alam dan lebih menjimatkan penggunaan bahan api, selain patuh piawaian emisi terkini. Enjin 123cc (air-cooled, 4-stroke, OHC, single cylinder) dengan kotak gear empat kelajuan itu menjana kuasa 9.8PS @ 7,500rpm dengan tork 10Nm @ 6,250rpm.

Sebagai tambahan, model kapcai tersebut kini turut dilengkapi sistem brek dengan ABS satu saluran, yang meningkatkan lagi ciri keselamatannya. Dua pilihan aksesori baharu kini turut ditawarkan untuk pasaran domestik Jepun iaitu “grip heater” dan “pillion seat”. Di pasaran Eropah dan Indonesia, tempat duduk belakang tampil sebagai ciri standard.

Honda Super Cub C125 2022 seterusnya didatangkan tangki bahan api 3.7 liter, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter yang menggabungkan ciri analog dan juga digital, sistem Honda SMART Key, ketinggian tempat duduk 780 mm, roda depan dan belakang yang berukuran 70/90-17 dan 80/90-17, dan sepasang rim aloi aluminium yang sporty.