Ducati Malaysia pada tarikh 15hb. September 2021 baru-baru ini secara rasminya telah melancarkan model kembara terbaharu Ducati Multistrada V4 2021 dan Multistrada V4S 2021 untuk pasaran tempatan. Bagi model V4, harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM 135,900.00, manakala untuk varian V4S harganya ialah sebanyak RM 146,900.00.
Menurut maklumat dari laman blog Paultan.org, Multistrada V4S dilengkapi ciri-ciri yang lebih lengkap berbanding Multistrada V4. Antaranya ialah model berkenaan didatangkan sistem radar canggih, yang dioperasikan bersama-sama sistem Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD), dan menjadikan tunggangannya lebih selamat.
Di bahagian suspensi, Multistrada V4S juga mempunyai kelebihan, apabila didatangkan Ducati Skyhook Suspension. Sistem suspensi separa aktif yang canggih itu mempunyai fungsi self-levelling yang boleh melakukan talaan secara automatik berdasarkan beban. Selain itu, Multistrada V4S turut dilengkapi dengan panel meter TFT-LCD berukuran 6.5 inci, sementara Multistrada V4 hanya dilengkapi panel meter TFT-LCD bersaiz 5.0 inci. Ducati Multistrada V4S juga tampil berbeza apabila ianya dilengkapi sistem quickshifter.
Ducati Multistrada V4 dan V4S dilengkapi enjin V4 Granturismo yang mempunyai berat hanya 66.7 kg, ringan dan kompak. Enjin berkapasiti 1,158cc itu mampu menjana kuasa maksimum 170hp @ 10,500rpm dengan tork puncak 125Nm @ 8,750rpm. Selang masa penukaran minyak enjinnya ialah pada setiap 15,000 km, sementara servis injap (valve clearance check) boleh dilakukan pada tempoh yang lebih lama iaitu setiap 60,000 km.
Pakej elektronik yang melengkapi kedua-dua versi Multistrada V4 dan V4S merangkumi aspek keselamatan, keselesaan, prestasi dan juga termasuklah sistem ketersambungan (connectivity). Sistem IMU menguruskan operasi sistem ABS Cornering, Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Traction Control (DTC), dan khusus untuk varian Multistrada V4S ialah ianya termasuklah Cornering Lights (DCL) dan juga Vehicle Hold Control (VHC).
Ducati Multistrada V4 dan V4S dilengkapi tangki bahan api 22 liter, tinggi tempat duduk antara 840 mm sehingga 860 mm yang boleh dilaraskan, dan berat 240 kg untuk varian V4 dan 243 kg untuk V4S. Untuk pasaran Malaysia, Ducati Multistrada V4 hadir dengan pilihan warna tunggal Ducati Red, dan Ducati Red dan Aviator Grey untuk varian V4S.
Galeri : Ducati Multistrada V4 2021
Galeri : Ducati Multistrada V4 S 2021