Kawasaki Z900 2022 di pasaran Eropah kini tampil lebih sporty dengan kemaskini warna baharu

Untuk pasaran Eropah, Kawasaki Z900 2022 kini tampil lebih sporty dengan kemaskini warna baharu yang lebih segar. Model naked bergaya agresif itu kini ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl Robotic White / Metallic Matte Graphenesteel Gray, Candy Lime Green / Metallic Spark Black dan Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Black.

Kawasaki Z900 2022 dikuasakan enjin bersesaran 948cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves), dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, dan menghasilkan kuasa maksimum 125PS @ 9,500rpm dengan tork maksimum 98.6Nm @ 7,700rpm. Model berkenaan dilengkapi tangki bahan api 17 liter.

Selain itu, ciri-ciri utama yang melengkapi Kawasaki Z900 2022 antaranya seperti panel meter digital TFT berwarna, Power Mode Selection, KTRC (Kawasaki Traction Control), Integrated Riding Modes, sistem lampu LED sepenuhnya dan teknologi penyambungan Bluetooth yang boleh dihubungkan ke telefon pintar menggunakan aplikasi Rideology.

Kawasaki Z900 2022 seterusnya dilengkapi spesifikasi standard yang merangkumi fork depan jenis terbalik 41 mm, suspensi belakang tunggal horizontal back-link, brek cakera depan berkembar 300 mm dengan kaliper empat piston, brek cakera belakang 250 mm, sistem ABS dual-channel, dan sepasang tayar bersaiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17.

Ketinggian tempat duduk model naked tersebut ialah 820 mm, jarak kelegaan bumi 145 mm dan beratnya mencapai paras 212 kg (curb mass). Untuk pasaran USA, Kawasaki Z900 2022 turut menerima pilihan warna terbaharu mulai bulan Julai yang lepas, namun mempunyai perbezaan dengan skim warna yang ditawarkan untuk pasaran Eropah.