Suzuki Malaysia bakal melancarkan model baharu pada 21 September 2021, adakah ianya sport bike di bawah 250cc?

Masih lagi segar dengan pelancaran enam buah model motosikal terbaharu di pasaran tempatan baru-baru ini, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. kini bakal melancarkan sebuah lagi model terbaharu pada tarikh 21hb. September 2021 (Selasa). Ketika ini hanya sekeping imej ‘teaser’ yang disiarkan, membuatkan kita semua tertanya-tanya model apakah itu?

Berdasarkan imej teaser tersebut, model yang bakal dilancarkan itu besar kemungkinan ialah sebuah model sport bike 250cc atau 150cc. Mungkin ianya model Suzuki Gixxer SF 2021 yang dilancarkan di pasaran Thailand pada bulan Mac yang lepas, atau boleh jadi Suzuki GSX-R150 2021 yang tampil dengan warna baharu untuk pasaran Vietnam.

Model yang akan dilancarkan itu juga pastinya bukanlah sebuah model dengan kapasiti enjin di atas 250cc, kerana model-model seperti itu tidak memerlukan sebarang kejutan atau imej ‘teaser’ untuk menghadirkan keterujaan kepada peminat motosikal tempatan. Mungkin inilah pengenalan pertama Suzuki untuk model-model di bawah kelas 250cc.

Suzuki Malaysia selepas ini dijangka akan memeriahkan pasaran motosikal di pasaran tempatan, dengan pelancaran kembali model-model terbaharu dalam segmen moped, kapcai, skuter, sport bike dan juga naked bike. Model-model di bawah kategori 250cc itu dijangka akan menghidupkan kembali jenama Suzuki seperti mana suatu ketika dahulu.

Kembali kepada model terbaharu yang bakal dilancarkan pada minggu depan, ada yang mengatakan ianya mungkin sebuah lagi model berkuasa tinggi iaitu generasi terbaharu Suzuki Hayabusa 2022. Jika benar, maka peminat motosikal Suzuki di kalangan rakyat marhaen pastinya kecewa. Apa pun kita tunggu untuk mendapatkan jawapan sebenar.