Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Yamaha Y16ZR 2021) merupakan model moped paling laris di pasaran Vietnam pada ketika ini. Walau bagaimanapun demi terus merancakkan lagi jualannya di musim pandemik ini, Yamaha Motor Vietnam telah memperkenalkan enam pilihan warna baharu yang lebih menarik, unik dan segar untuk model berkenaan.
Daripada enam pilihan warna baharu itu yang disasarkan khusus untuk generasi muda, empat daripadanya merupakan skim warna dalam edisi Master Art of Street, iaitu Born To Ride, Ride As The King, Rule The Roads dan Above Me Only Sky. Sementara itu dua lagi pilihan warna yang ditawarkan ialah dalam versi istimewa 60th Anniversary Yamaha World GP Edition dan Monster Energy Yamaha MotoGP Edition yang cukup menarik.
Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak 51,490,000 VND (RM 9,388.70) untuk versi Master Art of Street dan versi Monster Energy Yamaha MotoGP Edition, manakala untuk versi 60th Anniversary Yamaha World GP Edition, harganya ditetapkan sebanyak 51,990,000 VND (RM 9,479.87), iaitu paling tinggi berbanding pilihan warna yang lain.
Aspek spesifikasi teknikal bagaimanapun tidak berubah, di mana model moped itu kekal dikuasakan enjin 155cc VVA dan dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin berprestasi itu seterusnya menghasilkan kuasa maksimum yang mencecah 17.7hp @ 9,500rpm, dengan janaan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm.
Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam pada ketika ini keseluruhannya telah mempunyai 11 pilihan warna, termasuk warna Yellow Gray yang diperkenalkan dalam bulan Jun 2021 baru-baru ini. Untuk pasaran Malaysia pula, diharapkan Yamaha Y16ZR 2021 akan turut didatangkan dengan pilihan warna-warna baharu yang lebih menarik.