Khusus untuk peminat Suzuki di pasaran tempatan yang mahukan sebuah model naked pada harga yang berpatutan, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. kini rasmi menawarkan model terbaharu Suzuki SV650 2021. Model tersebut diimport sepenuhnya dari Jepun sebagai versi CBU, dan ditawarkan dengan harga jualan asas hanya RM 37,289.00 sahaja.
Suzuki SV650 dilengkapi enjin berkapasiti 645cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC V-Twin) dengan kuasa maksimum 73PS @ 8,500rpm dan tork puncak 64Nm @ 6,800rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Antara teknologi menarik yang melengkapinya termasuklah Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System.
Spesifikasi lain yang melengkapi Suzuki SV650 termasuklah tangki bahan api 14.5 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock boleh laras, brek cakera depan berkembar 290 mm dengan kaliper empat piston, brek cakera belakang 240 mm, tayar depan belakang 120/70-R17 dan 160/60-R17, tinggi pelana 785 mm dan berat 200 kg.
Untuk pasaran Malaysia, Suzuki SV650 2021 hanya tersedia dalam pilihan warna Glass Sparkle Black / Pearl Brilliant White sahaja. Tempoh jaminan yang diberikan pula adalah selama 2 tahun atau jarak perjalanan sehingga 20,000 km. Untuk maklumat selanjutnya mengenai model naked ini, anda boleh kunjungi cawangan pengedar yang berdekatan.