Yamaha RD350F 1986, dilengkapi enjin dua lejang 347cc, kelajuan maksimum 192.8 km/j

Yamaha RD350F keluaran tahun 1986 ini tidak disangkal lagi merupakan sebuah model legenda era 1980an, yang sehingga kini masih mempunyai ramai peminat. Untuk model yang disiarkan di sini, ianya merupakan versi yang ditawarkan di pasaran Eropah, hadir dalam tiga skim warna yang menggabungkan warna merah, putih, hitam dan biru.

Yamaha RD350F ini merupakan sebuah model yang cukup berkuasa, dilengkapi enjin dua lejang berkapasiti 347cc (liquid cooled, two stroke, parallel twin cylinder, YPVS) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai paras maksimum 59hp @ 9,000rpm, dengan tork maksimum 40.2Nm @ 8,000rpm.

Kelajuan maksimumnya dikatakan mencecah 192.8 km/j, suatu angka yang cukup tinggi dan pastinya menjadi idaman ramai peminat berjiwa kelajuan pada zamannya. Yamaha RD350F mempunyai spesifikasi keseluruhan yang memuaskan, seperti dua brek cakera berkembar pada roda depan, bersama-sama cakera belakang tunggal di belakangnya.

Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan teleskopik, yang bergandingan dengan suspensi belakang monoshock. Sistem ekzos berkembar di kiri dan kanan menjadikan penampilannya lebih garang, manakala tayar depan dan belakang dalam saiz 90/90-18 dan 110/80-18 yang membaluti rim aloi bergaya telah menjadikannya lebih sporty.

Yamaha RD350F keluaran tahun 1986 ini mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 17 liter, tinggi tempat duduk 790 mm, dan berat basah hanya 155 kg. Ketika ini jika ada pemilik yang masih memiliki model legenda Yamaha RD350F dengan enjin dua lejang ini, pastinya sangat bertuah kerana statusnya yang semakin sukar dicari.

Sumber spesifikasi : motorcyclespecs.co.za