Untuk pasaran tempatan, KTM Malaysia hanya menawarkan dua model sportbike KTM RC 200 dan KTM RC 390. Bagi model KTM RC 125, ianya hanya khusus untuk pasaran Eropah sahaja. Ketiga-tiga model tersebut kini tampil dengan rekaan serba baharu yang lebih agresif, serta enjin yang lebih berkuasa dengan prestasi yang dipertingkatkan.
KTM RC 200 2022 memiliki spesifikasi sama seperti model KTM RC 125 2022, kecuali sesaran enjin dan beberapa perbezaan kecil. KTM RC 200 menggunakan enjin 199.5cc (liquid cooled, 1-cylinder, 4-stroke), dengan padanan transmisi enam kelajuan. Setelah disemak semula, enjin itu kini dikatakan menghasilkan keluaran tork yang lebih tinggi.
KTM RC 200 2022 turut dikatakan lebih ringan berbanding generasi sebelumnya KTM RC 200 2020, melalui penggunaan kerangka baharu yang kini 1.5 kg lebih ringan, brek depan dan belakang baharu daripada ByBre dengan pengurangan berat sehingga 960 gram, dan rim roda baharu yang kini 1 kg lebih ringan untuk pengendalian lebih baik.
Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi sistem suspensi depan WP APEX big piston fork dan suspensi belakang WP APEX, ditala semula untuk prestasi tunggangan yang lebih sporty. Beralih ke bahagian brek, cakera depan 320 mm 4-piston dan cakera belakang 230 mm, lengkap dengan Supermoto ABS, menjamin tahap keselamatan tertingginya.
Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan api kini mempunyai kapasiti lebih besar iaitu 13.7 liter. KTM RC 200 2022 juga dikatakan menawarkan corak tunggangan yang lebih selesa dan ergonomik, sama ada untuk tunggangan agresif di litar atau lebih santai untuk tunggangan harian, dan pastinya sesuai untuk kebanyakan penunggang.
Ciri-ciri lain yang melengkapinya termasuklah panel instrumen digital LCD, lampu signal dan lampu belakang LED dan dua pilihan warna yang menyerlah. KTM RC 200 2022 ini dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada masa akan datang. Adakah model ini akan mampu menarik minat ramai pembeli, sama-samalah kita tunggu ketibaannya.