KTM RC 125 2022 berubah sepenuhnya, sportbike 125cc yang kini tampil lebih garang dan lebih berprestasi

KTM baru-baru ini telah memperkenalkan generasi terkini sportbike KTM RC 125 2022, bersama-sama KTM RC 200 2022 dan KTM RC 390 2022. Walaupun ianya merupakan model dengan enjin yang paling kecil, KTM RC 125 tetap berubah sepenuhnya, dan kini tampil dengan wajah baharu yang lebih garang dan prestasi yang dipertingkatkan.

KTM RC 125 2022 dibangunkan di atas kerangka baharu yang kini 1.5 kg lebih ringan berbanding generasi sebelumnya. Sistem suspensi pula menggunakan WP APEX open cartridge fork pada bahagian depan dan penyerap hentak belakang baharu WP APEX, lengkap dengan talaan kilang yang disemak semula untuk tunggangan lebih sporty.

Di bahagian brek, ianya dilengkapi cakera depan tunggal 320 mm (radially mounted 4-piston-fixed caliper) dan cakera belakang 230 mm (one-piston fixed caliper), yang mana sistem brek baharu daripada ByBre itu kini 960 gram lebih ringan. Di bahagian roda, rim baharu yang digunakan bukan sahaja sporty, malah juga lebih ringan sehingga 3.4 kg.

KTM RC 125 2022 dilengkapi enjin 124.7cc (liquid-cooled, 1-cylinder, 4-stroke) bertaraf Euro 5, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan. Dengan airbox rekaan baharu, enjin tersebut kini menawarkan tork yang lebih tinggi. Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, model tersebut kini mempunyai tangki bahan api yang lebih besar iaitu 13.7 liter.

Melengkapkan lagi spesifikasi model tersebut ialah kehadiran sistem lampu depan LED baharu dengan lampu LED Daylight Running Lights (DRL), lampu belakang LED, panel meter TFT serba baharu yang boleh dihubungkan dengan aplikasi KTM My Ride, sistem brek dengan teknologi Supermoto ABS, dan tayar berukuran 110/70-17 dan 150/60-17.

Menurut KTM, tunggangan RC 125 kini lebih selesa dan ergonomik, dan bersedia untuk beraksi di litar secara agresif atau pun lebih santai ketika berada di jalanan. Ditawarkan dalam dua pilihan warna yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan, KTM RC 125 2022 akan berada di pasaran Eropah secara rasmi mulai bulan Mac 2022 akan datang.