Honda CB200X 2021 – adakah bakal mendapat sambutan jika ianya dilancarkan di pasaran Malaysia?

Model adventure terbaharu Honda CB200X 2021 baru saja dilancarkan untuk pasaran India, dalam tiga pilihan warna yang menarik. Harga jualannya juga berpatutan, sekitar RM 8.2k sahaja setelah ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia. Keseluruhannya, reka bentuk CB200X adalah sporty dan menawan, sempurna untuk aktiviti pengembaraan.

Persoalannya ialah adakah model tersebut akan mendapat sambutan, sekiranya ianya turut dilancarkan untuk pasaran Malaysia? Untuk makluman, Honda CB200X dilengkapi enjin bersesaran 184.4cc (4 Stroke, SI Engine, PGM-FI), dan patuh piawaian emisi BS-VI. Namun enjin satu silinder itu hanya didatangkan sistem penyejukan jenis udara.

Seperti mana kita semua sedia maklum, peminat motosikal di pasaran Malaysia sangat memilih dan hanya mahukan model terbaik sahaja, sama ada dari segi rekaan dan juga teknologi. Salah satu teknologi penting pada sesebuah model motosikal yang seringkali menjadi pertimbangan peminat di negara kita ialah teknologi penyejukan jenis cecair.

Untuk model sporty seperti Honda CB200X, tidak pasti sama ada ianya akan mendapat sambutan apabila dilancarkan di pasaran Malaysia, jika enjinnya kekal dengan teknologi sistem penyejukan jenis udara. Mungkin pihak Honda sendiri menyedari perkara seperti ini, iaitu pasaran motosikal di Malaysia dan India mempunyai perbezaan yang tersendiri.

Namun jika pihak Honda menaik taraf model tersebut dengan sistem penyejukan jenis cecair, sudah pasti ianya mampu dijual di pasaran Malaysia pada bila-bila masa. Cuma harga jualannya mungkin akan sedikit tinggi, namun jika masih berpatutan, sudah tentu akan laris. Hakikatnya, Honda CB200X 2021 tidak dibangunkan untuk pasaran ASEAN.