GPX Rock Metal 2022 dilancarkan di pasaran Thailand, harga pengenalan bermula dari RM 5,029.08

Pada Oktober 2020 yang lepas, GPX Thailand telah melancarkan sebuah model kapcai bergaya funky GPX Rock. Kini sebuah lagi model kapcai terbaharu yang lebih menarik, dikenali dengan nama GPX Rock Metal 2022, secara rasminya dilancarkan di pasaran Thailand, dengan harga pengenalan bermula dari hanya THB 39,500 (RM 5,029.08).

GPX Rock Metal 2022 boleh didapati dalam lima pilihan warna yang menarik iaitu Deep Blue, Chocking Pink, Orange, Luminous Yellow dan Satin Silver. Tempoh jaminan yang diberikan untuk model kapcai berwarna-warni dan ceria itu adalah selama 3 tahun, atau 30,000 km jarak perjalanan. Sangat baik untuk produk tempatan keluaran Thailand.

Dari aspek spesifikasi, GPX Rock Metal dikuasakan enjin bersesaran 109cc (air-cooled, 1-cylinder, 4-stroke, SOHC) dengan teknologi suntikan bahan api GPX-Fi. Bertaraf Euro 4, enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Kapasiti maksimum tangki bahan api model dengan berat 100 kg (net weight) itu ialah 4.0 liter.

GPX Rock Metal seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, sistem brek cakera di bahagian depan, brek dram pada bahagian belakang, tayar depan dan belakang berukuran 17 inci, tinggi tempat duduk 780 mm, serta rantai D.I.D bersaiz 428D digunakan pada model tersebut, lengkap dengan penutup (cover).

Pelbagai ciri-ciri menarik yang melengkapi GPX Rock Metal ini termasuklah panel meter digital sepenuhnya (mempunyai ciri pelarasan melalui butang ADJ), sistem lampu LED depan (bersama-sama lampu DRL) dan belakang sepenuhnya, rekaan rim aloi bergaya, tempat duduk yang selesa, dan juga penampilan sistem ekzos yang menarik dan sporty.

Selain itu GPX Rock Metal 2022 turut dilengkapi sistem kunci dengan penutup untuk ciri keselamatan yang lebih baik, dua sistem penghidup enjin iaitu elektrik dan tendang, dan juga kemudahan raga pada bahagian depannya. Untuk pasaran Malaysia, masih belum dapat dipastikan sama ada model kapcai GPX Rock Metal ini akan turut dilancarkan.