Kawasaki Z650 2022 diperkenalkan di pasaran USA, terima kemaskini skim warna baharu

Untuk pasaran USA bagi musim 2022, Kawasaki telah memperkenalkan model naked Kawasaki Z650, yang kini telah menerima kemaskini dua skim pilihan warna terbaharu. Kedua-dua warna terbaharu tersebut ialah Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Flat (Non-ABS) dan Pearl Robotic White / Metallic Matte Graphenesteel Gray (ABS).

Harga jualan yang ditawarkan adalah sebanyak $7,349.00 untuk model versi Non-ABS, iaitu bersamaan RM 30,586.54. Untuk versi ABS, ianya ditawarkan dengan harga jualan $7,849.00, bersamaan RM 32,667.54. Spesifikasi teknikal untuk Kawasaki Z650 2022 di pasaran USA didapati tidak berubah, kekal sama seperti mana model tahun 2021.

Kawasaki Z650 dikuasakan enjin bersesaran 649cc (4-stroke, 2-cylinder, DOHC, liquid-cooled) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, seterusnya menghasilkan prestasi maksimum 51PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 59Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut turut dilengkapi teknologi Dual Throttle Valves yang canggih.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Kawasaki Z650 2022 ini antaranya termasuklah kerangka trellis yang ringan, panel instrumen digital TFT berwarna, sistem sambungan Bluetooth untuk telefon pintar, lampu depan dan belakang LED, tuas brek dan klac boleh laras, dan kapasiti tangki bahan api 15 liter untuk perjalanan lebih jauh.