Yamaha XMAX ABS 2021 terima perubahan kecil baharu untuk pasaran Jepun

Untuk pasaran Jepun pada awal bulan Jun 2021 yang lepas, Yamaha memperkenalkan model skuter Yamaha XMAX ABS 2021, yang kini telah menerima beberapa perubahan kecil (minor change) baharu berbanding model tahun sebelumnya. Model berkenaan akan berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 28hb. Julai 2021.

Menurut Yamaha, kemaskini terbaharu pada XMAX ABS 2021 melibatkan pengenalan empat warna baharu yang menambah baik tekstur kulit tempat duduk dan kunci pintar, meningkatkan jumlah cahaya daripada lampu depan, dan pada masa yang sama turut melakukan perubahan di bahagian ekzos untuk pematuhan emisi terkini tahun 2020.

Empat pilihan warna baharu yang diperkenalkan untuk musim 2021 itu ialah Matte Gray, Gray, Matte Dark Gray dan Matte Blue. Spesifikasi enjin kekal sama seperti model pada tahun 2020, berkapasiti 249cc (single-cylinder, water-cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves) dengan janaan maksimum 23PS @ 7,000rpm dan tork maksimum 24Nm @ 5,500rpm.

Selain penampilannya yang sporty dan menawan, ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha XMAX ABS 2021 ini termasuklah panel meter dengan paparan pelbagai fungsi, lampu depan dan belakang LED yang bergaya agresif, suspensi depan motosikal untuk pengendalian yang lebih baik, Traction Control dan sistem brek cakera dengan ABS.

Selain itu, skuter maxi tersebut juga dilengkapi handle dan windshield dengan ciri boleh laras, ruang kompatmen depan dengan soket pengecas DC terbina dalam, tangki petrol dengan kapasiti maksimum 13 liter dan ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 45 liter. Harga jualannya ditetapkan sebanyak 654,500 Yen, bersamaan RM 24,513.81.